Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM temui pemimpin tertinggi China, saksi tandatangan MoU

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi China, sekaligus mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara dua negara.

Dr Mahathir yang tiba di sini semalam menemui President Xi Jinping, Perdana Menteri Li Keqiang dan Presiden Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat, Li Zhanshu.

Pemimpin berumur 94 tahun yang berada di Beijing untuk lawatan kerja lima hari serta menghadiri Forum kedua One Belt One Road bagi Kerjasama Antarabangsa (BRF), menemui Presiden Xi di Great Hall of People, dan beliau turut mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala dengan Xi.

Forum berhubung inisiatif Belt and Road China yang dijangka menarik penyertaan kira-kira 40 pemimpin global serta ratusan perwakilan itu akan dirasmikan oleh Xi esok.

Terdahulu Dr Mahathir bertemu dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana menteri Li di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di Beijing hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat dua hala dengan Xi dan Li adalah Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Selepas mesyuarat Dr Mahathir dan Li menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) berhubung usaha meningkatkan kerjasama mengenai minyak sawit antara Malaysia dan China serta pembangunan taman-taman perindustrian serta hub logistik yang berkaitan dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Perjanjian mengenai pengembalian semula bandar Malaysia turut ditandatangani.

Perdana Menteri turut menemui Zhanshu dan mengadakan mesyuarat dua hala bersama delegasinya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS