Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus bagi tahun 2005, meningkat daripada 4.75 peratus tahun sebelumnya.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Halim Ali menyifatkan kadar dividen 2005 itu adalah baik di sebalik suasana ekonomi global yang mencabar dan kadar faedah domestik yang rendah.

Menurut laporan Bernama, Pendapatan kasar meningkat dalam semua portfolio pelaburan sehingga mencecah RM13.11 bilion, bertambah sebanyak RM1.35 bilion daripada RM11.76 bilion setahun yang lalu.

Pendapatan bersih KWSP pada tahun 2005 ialah RM11.89 bilion selepas ditolak dividen untuk pengeluaran, perbelanjaan operasi, bayaran bantuan kematian dan hilang upaya dan peruntukan rosot nilai pelaburan.

Pada tahun 2005, KWSP perlu memperoleh RM2.37 bilion untuk membayar satu peratus dividen berbanding RM2.16 bilion pada tahun 2004. Ini bermakna tambahan sebanyak RM210 juta atau lebih 9.0 peratus diperlukan untuk membayar satu peratus dividen pada tahun 2005 berbanding 2004.

"KWSP perlu meningkatkan pendapatannya setiap tahun untuk mendapatkan satu peratus dividen dan jumlah ini akan terus meningkat selaras dengan peningkatan saiz dananya," kata Abdul Halim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Setakat 31 Dis, 2005, KWSP melabur sejumlah RM259.88 bilion dalam instrumen-instrumen pelaburan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), pinjaman dan bon, instrumen pasaran wang dan hartanah.

Sejumlah RM97.77 bilion dilaburkan untuk MGS, diikuti pinjaman dan bon (RM94.36 bilion), ekuiti (RM49.58 bilion), pasaran wang (RM16.58 bilion) dan hartanah (RM1.59 bilion).

Dua perubahan besar

Berbanding tahun sebelumnya, KWSP telah melabur lebih banyak dana dalam instrumen-instrumen itu kecuali instrumen pasaran wang.

Peruntukan aset dalam tahun 2005 menyaksikan dua perubahan besar berbanding peruntukan tahun 2004, kata KWSP.

Pinjaman dan bon mencatatkan peningkatan sebanyak RM19.97 bilion kepada RM94.36 bilion dalam tahun 2005 daripada RM74.39 bilion dalam 2004 sementara instrumen pasaran wang menunjukkan penurunan sebanyak RM4.68 bilion selaras dengan kadar faedah yang rendah.

Pendapatan pelaburan yang diperolehi pada 2005 dalam semua kelas aset mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2004.

Pendapatan daripada pinjaman dan bon dan ekuiti menunjukkan peningkatan yang ketara.

Pinjaman dan bon meningkat RM900.90 juta kepada RM4.449 bilion daripada RM3.548 bilion sebelumnya.

Ekuiti menokok RM329.76 juta kepada RM2.910 bilion dalam 2005 daripada RM2.580 bilion dalam tahun 2004.

Abdul Halim berkata KWSP akan terus meneroka pelaburan baru lain bagi memaksimumkan pulangan terhadap simpanan ahli tanpa mendedahkan dana itu kepada risiko yang tinggi.