Editor NST patut digantung kerja, kata Dr Mahathir
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, editor akhbar New Straits Times (NST) patut digantung kerja selama "dua hingga tiga bulan" kerana menyiarkan dua kali kartun yang berkaitan dengan kontroversi karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, editor akhbar New Straits Times (NST) patut digantung kerja selama "dua hingga tiga bulan" kerana menyiarkan dua kali kartun yang berkaitan dengan kontroversi karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.
"Walaupun akhbar tersebut tidak digantung, editornya patut digantung (kerja). Kerana dapat lihat apabila dia mencetaknya, dia tidak faham perasaan orang Islam," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir berkata, dengan mengambil tindakan terhadap akhbar tersebut, ia memperlihatkan ketegasan pihak kerajaan bahawa mana-mana pertubuhan media yang melakukan kesalahan, tidak akan terlepas daripada hukuman.
Menurut laporan Bernama, NST melalui ruangan Life & Time pada Isnin lalu telah menyiarkan karikatur tersebut pada muka surat lapan akhbar tersebut dan menyiarkan semula lakaran itu semalam di muka dua.
Dr Mahathir menyifatkan NST tidak sensitif dalam menyiarkan semula kartun itu yang menyebabkan akhbar berkenaan menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri semalam.
Tidak sensitif
Akhbar itu diberi tiga hari untuk memberikan penjelasan secara bertulis kenapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya kerana menyiarkan kartun "Non Sequitur" oleh Wiley Miller pada Isnin dan menyiarkannya sekali lagi semalam mengiringi sebuah artikel yang menjelaskan tindakan akhbar itu berbuat demikian.
Dr Mahathir berkata: "Mereka sungguh tidak sensitif dan mereka sepatutnya sensitif kerana mereka tahu cerita ini (mengenai karikatur menghina Nabi Muhammad) bukanlah sesuatu yang secara tiba-tiba timbul.
"Jadi kenapa dia siarkannnya? (kartun itu). Ia menunjukkan dia kurang faham dengan sentimen orang Islam. Dan mereka siarkannya sekali lagi semalam seolah-olah menyoal apa sangatlah benda ini, tak ada apa pun," katanya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, PAS negeri itu hari ini membuat laporan polis berhubung penyiaran kartun tersebut dalam NST pada hari Isnin dan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Ayob Abdul Kadir berkata polis menerima laporan pada jam 11 pagi tadi yang dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani bersama dua lagi ahli parti tersebut.
Timbulkan kemarahan
Menurut laporan itu, katanya penyiaran lakaran kartun itu telah menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub yang mengetuai PAS Terengganu, dilaporkan turut menghantar surat mendesak Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Datuk Hishamuddin Aun membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini.
Sebelum ini, akhbar Sarawak Tribune digantung keluarannya kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad S.A.W yang pertama kali disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Manakala akhbar berbahasa Cina, Guang Ming, digantung selama dua minggu kerana menerbitkan gambar orang membaca surat khabar yang menunjukkan karikatur itu.

