Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zunar beri keterangan di SKMM isu karya diciplak, diubah

Kartunis Zunar hari ini tampil memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan tindakan sesetengah individu yang didakwa memalsukan karyanya di media sosial baru-baru ini.

“Sebenarnya sejurus selepas isu ini, saya ada buat laporan dalam talian di portal SKMM mengenai beberapa individu yang telah menciplak dan mengubah kartun saya.

“Hari ini saya telah mendapat jawapan dari pihak (SKMM) yang mengatakan laporan saya telah diterima dan dibuka untuk siasatan. Jadi saya hadir untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan ulasan berhubung perkara itu.

Menerusi ciapan di Twitter hari ini, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata kertas siasatan mengenai perkara itu telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Pada 8 April lalu, Zunar mendakwa karyanya diciplak oleh tiga pengguna akaun media sosial.

Salah satu pihak yang terbabit ialah bekas pengarah bahagian komunikasi strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz.

Susulan itu, Zunar telah memberi masa kepada pengguna akaun terbabit untuk memohon maaf secara terbuka di dalam akaun Facebook dan Twitter masing-masing.

“Sebelum ini saya sudah beri peluang untuk mereka meminta maaf.

“Ada seorang sudah meminta maaf kepada saya secara terbuka, jadi saya sudah menarik tuntutan kepadanya,” katanya.

Bagaimanapun, Zunar enggan mendedahkan individu yang sudah meminta maaf dan menjelaskan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.

Mengulas lanjut, Zunar memberitahu terdapat tiga lagi aspek penting yang memberi kesan buruk kepadanya iaitu karyanya telah ditambah dengan kata-kata yang menurutnya berniat jahat, mengubah makna dan memfitnah bagi memusnahkan reputasinya.

Zunar bagaimanapun berkata dia difahamkan bahawa pihak SKMM hanya akan memberi fokus terhadap laporan pemalsuan karya.

“Sekarang ini saya sudah beritahu empat aspek itu kepada SKMM.

“Tetapi saya diberitahu (SKMM) hanya akan melihat dari segi pemalsuan karya,” katanya.

Tambah Zunar, kini dia sedang menunggu keputusan dari pihak SKMM untuk memutuskan tindakan lanjut yang akan diambilnya.

“Jika pihak SKMM akan membantu saya dalam meneruskan laporan kesemua aspek tersebut, saya tidak akan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS