PKR Ktan dan Tganu terjejas kerana campurtangan pusat?
Campurtangan pemimpin atasan didakwa telah menyebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan dan Terengganu bergolak sehingga kedua-dua hampir lumpuh.
Campurtangan pemimpin atasan didakwa telah menyebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan dan Terengganu bergolak sehingga kedua-dua hampir lumpuh.
Akibatnya, Ketua Perhubungan PKR Kelantan Nik Mahmood Nik Hassan dan Ketua Perhubungan PKR Terengganu Mohd Fadzil Jusoh terpaksa meletak jawatan.
Seorang pemimpin PKR Kelantan yang enggan namanya disiarkan mendakwa, perletakan jawatan Nik Mahmood baru-baru ini kerana campurtangan Naib Presiden Azmin Ali.
Beliau mendakwa, apabila Nik Mahmood mengemukakan laporan mengapa beliau memecat bekas Timbalan Ketua Perhubungan PKR negeri Saupi Daud Azmin dikatakan tidak menerima hujahnya.
Sebaliknya, dia mendakwa, apabila Saupi membuat laporan mengenai Nik Mahmood, Azmin menerima dan dijadikan alasan untuk menekan Nik Mahmood supaya meletak jawatan.
Taja calon
Menurutnya, Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali campurtangan dengan meminta Nik Mahmood menarik balik peletakan jawatan tersebut tetapi dibantah oleh para penyokong Azmin.
Sementara itu, seorang bekas pemimpin kanan PKR Terengganu juga mendakwa Azmin dan Ketua Pemuda Ezam Mohd Noor telah campurtangan menyebabkan pentadbiran PKR negeri menjadi kucar-kacir.
Beliau mendakwa ada calon-calon tertentu telah ditaja untuk memburuk-burukkan kepimpinan.
Pada masa ini, Azmin menjadi Ketua Perhubungan PKR Terengganu setelah Ahmad Fadzil meletakkan jawatan pertengahan tahun lalu.
"Saya tidak lagi dipanggil untuk hadir dalam sebarang program atau pun mesyuarat yang membabitkan parti," kata pemimpin kanan PKR tersebut, sambil menambah beliau kini tidak tahu mengenai kedudukannya dalam parti itu.
Menurutnya, beliau semakin dipinggirkan oleh pucuk pimpinan meskipun berjuang habis-habisan pada peringkat awal penubuhan PKR.

