Jangan hanya tahu kritik Dr Mahathir
Tan Sri A Samad Ismail, tokoh wartawan dan seorang nasionalis yang aktif menjelang kemerdekaan, pernah ditahan tiga kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terlibat dengan gerakan komunis. Wawancara ini diadakan dua hari sebelum beliau dipecat daripada New Straits Times .
Malaysiakini: Apakah kecendurungan politik pelajar dan generasi muda sekarang?
Tan Sri A Samad Ismail, tokoh wartawan dan seorang nasionalis yang aktif menjelang kemerdekaan, pernah ditahan tiga kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terlibat dengan gerakan komunis. Wawancara ini diadakan dua hari sebelum beliau dipecat daripada New Straits Times .
Malaysiakini: Apakah kecendurungan politik pelajar dan generasi muda sekarang?
Pak Samad: Ramai pelajar sekarang yang pro-pembangkang. Jarang yang kita jumpa pelajar yang pro-kerajaan. Mereka sama ada pro-Keadilan atau PAS. Orang muda sekarang bersikap suka menyindir (sinis). Mereka mempunyai kesedaran politik tetapi mereka juga 'buta huruf politik.' Ada berbezaan di antara kesedaran politik dengan 'buta huruf' politik.
Misalnya ketika Menteri Belia dan Sukan Datuk Hishamudin Tun Hussein Onn pergi ke Hong Kong untuk melobi bagi menganjurkan Sukan Asia. Mereka mendakwa kita gagal kerana rombongan Malaysia itu menayangkan klip video mengenai Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Itu sahaja.
Mereka sepatutnya berbincang sama ada klip itu tidak lengkap, atau beliau tidak membuat persediaan secukupnya. Tetapi mereka mendakwa kegagalan itu berpunca daripada tayangan klip video Dr Mahathir. Ini berlaku kerana mereka bersikap suka menyindir dan kerana mereka 'buta huruf' politik.
Masa saya muda dahulu, ketika waktu bersekolah, saya banyak membaca.. Saya melanggan majalah-majalah nasionalis. Kemudian saya menyertai politik. Saya berdamping dengan Ibrahim Yaakob, Ishak Muhammad dan Dr Burhanudin Helmi.
Kita mesti banyak membaca., tetapi pelajar sekarang 'malas di segi pemikirannya.' Mereka tidak menggunakan fikiran. Dahulu kami memang serius dalam politik. Saya menyertai Utusan Melayu pada 1941 ketika berumur 16 tahun. Utusan Melayu adalah lubuk gerakan nasionalisme Melayu. Setiap hari kami berbincang perkembangan politik. Dengan itu pendidikan politik kita meningkat. Kita juga perlu bergaul dengan orang politik.
Jadi, saya bergaul dengan Ibrahim dan Ishak dan lain-lain. Dengan cara itu, kita meluaskan pengetahuan kita mengenai politik. Jadi tidaklah kita 'syok sendiri.' Inilah masalah dengan pelajar dan orang muda sekarang, mereka malas membaca. Mereka hanya tahu mengkritik Dr Mahathir dan perkara-perkara lain tetapi tidak ada substance .
Macam mana para pelajar pada zaman Pak Samad dahulu? Macam Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawisaya mengenalinya sejak dia masih pelajar lagi. Beliau dan Firdaus Abdullah serius bergerak dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Mereka berbincang mengenai politik, termasuk soal hak orang Melayu dan hal-hal lain. Selaku pelajar, mereka serius sampai ke zaman Anwar Ibrahim.
Saya rasa (amalan) ini tidak ada sekarang. Pelajar kita (kini) tidak serius. Seperti dikatakan tadi, mereka tidak berbincang mengenai politik, tetapi mereka gossip mengenai politik. Semasa zaman Jepun dahulu, antara tahun 1941-42, saya ramai berkawan dengan aktivis kesatuan sekerja. Mereka begitu mengambil berat soal politik. Pekerja India yang masih muda semuanya bercakap mengenai politik. Tetapi pelajar dan orang muda sekarang suka menyindir dan tidak konstruktif, tidak bersikap positif. Mereka tahu menyindir sahaja. Sepatutnya mereka mesti berbincang mengenai politik negara.
Adakah kerajaan menyedari keadaan (perubahan generasi muda) ini?
Kerajaan memang menyedarinya. Kerajaan juga takut wujud sikap ekstremis. Mereka boleh dipengaruhi dan terbawa-bawa oleh emosi. Mereka tidak menggunakan fikiran. Mereka tidak dapat bertolak-ansur atau menerima pandangan orang lain.
Mereka mahu mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi mereka tidak ada ideologi, tiada idealisme. Tetapi pada masa yang sama, ada lagi satu jenis (kumpulan) ekstremis - (mereka) masuk Umno kerana hendak mendapatkan kontrak kerajaan!
Golongan ini tidak ada idealisme mengenai apa bentuk masyarakat yang mereka mahu wujudkan. Mereka tidak bertolak ansur. Mereka tidak menghormati pandangan orang lain. Mereka sahaja yang betul. Maka mereka menjadi dogmatic . Inilah yang susah, kerana mereka tidak flexible .
Keadaan ini memang berbeza berbanding zaman muda saya dahulu. Ketika di Singapura, saya dapat memujuk pelajar Cina supaya menyokong PAP (Parti Tindakan Rakyat). Mengapa? Orang yang biasa berjuang untuk kemerdekaan, mesti pandai bercakap, dan pada masa yang sama, suka mendengar.
Tetapi sekarang, mereka (aktivis pelajar) tidak sabar dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Keadaan ini tidak patut berlaku. Jika anda mahu menjadi seorang ahli propaganda, anda mesti bersikap suka mendengar pandangan orang lain. Dengan mendengar apa yang mereka cakap, kita akan tahu apakah masalah yang mereka hadapi.
Ketika bersama kesatuan sekerja di Singapura, saya ke pejabat dan duduk berjam-jam mendengar aduan pekerja. Saya duduk mendengar apa sahaja yang mereka adukan. Dengan cara ini kita dapat belajar daripada orang lain. Pada masa yang sama kita tahu apakah masalah yang dihadapi anggota masyarakat, pekerja, guru dan sebagainya.
Kita tidak boleh meletakkan semua kesalahan kepada kerajaan. Mereka mendakwa sekarang banyak berlaku kes rogol kerana dasar kerajaan tidak betul. Apabila berlaku kejadian rogol antara ahli keluarga, mereka mendakwa, ia berlaku kerana gaji tidak cukup.
Jadi ibu bapa terpaksa bekerja dan meninggalkan anak-anak di rumah. Semuanya disalahkan kepada kerajaan, tetapi mereka tidak pernah melihat pada diri mereka sendiri. Mereka tidak percaya apa yang dilaporkan akhbar. Semuanya dianggap propaganda Umno, dan Dr Mahathir. Mereka tidak bersikap terbuka.
Kita mesti membebaskan diri daripada sikap syak wasangka, barulah kita dapat belajar. Generasi muda adalah pemimpin masa depan negara. Saya selalu juga bertemu dengan mereka kerana saya mahu memahami apakah masalah mereka. Namun selepas berbual, saya sendiri tidak tahu apakah puncanya!
Apakah ianya ada kaitan dengan cara dan suasana mereka dibesarkan?
Saya rasa gejala ini tiada kaitan dengan cara dan suasana mereka dibesarkan. Tetapi saya rasa ia berkaitan dengan perkembangan mental mereka yang tidak matang. Ada sesetengahnya yang petah bercakap, tetapi retorik sahaja. Tiada di kalangan mereka yang boleh dianggap sebagai pemikir.
Macam PAS sekarang. Umno minta parti itu sediakan perlembagaan mengenai negara Islam yang hendak ditubuhkan. PAS mesti buat perlembagaan supaya orang ramai dapat mengkajinya. Ketika menentang Malayan Union dahulu, kami menyediakan draf perlembagaan persekutuan. Kita meletakkan syarat, antaranya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi, Islam sebagai agama rasmi, dan orang bukan Melayu yang taat kepada negara ini diberikan taraf kewarganegaraan. Kami nyatakan dengan jelas apakah bentuk perlembagaan negara yang kami mahu. Semuanya dibuat secara khusus.
Kalau PAS hendak wujudkan negara Islam, di mana perlembagaanya? Begitu juga dengan DAP, ia perlu nyatakan bentuk konsep 'Malaysian Malaysia' yang hendak diwujudkan. Apakah parti itu mahu memperjuangkan persamaan hak? Nyatakan. Nyatakan semua itu dalam bentuk bertulis supaya orang ramai dapat melihat dan mengkajinya.
Pembangkang perlu menyatakan alternatif yang mereka tawarkan. Apa yang wujud sekarang hanyalah gabungan parti-parti pembangkang. Itu sahaja. Nyatakan apakah permintaan atau tuntutan minimum pihak pembangkang. Nyatakan secara bertulis supaya rakyat dapat lihat.
Tanpa sesuatu yang bertulis, macam-macam perkara timbul. Rakyat jadi keliru.
Apakah pandangan Pak Samad mengenai Parti Keadilan Nasional?
Keadilan pun serupa. Berapa lama lagi parti itu hendak menjadikan faktor Anwar Ibrahim sebagai isu utama perjuangannya? Katakan, kalaulah Anwar tidak dibebaskan dalam tempoh 20 tahun lagi, bagaimana? Keadilan perlu menghadapi tiga atau empat pilihanraya umum sepanjang tempoh berkenaan!
Jadi, Anwar bukan segala-galanya. Rakyat juga mahu tahu apakah yang sebenarnya mahu diperjuangkan oleh Keadilan. Apakah Keadilan juga mahu mewujudkan sebuah negara Islam atau negara sosialis atau tidak?
Dulu kami menggubal perlembagaan dan kami memanggilnya 'perlembagaan rakyat.' Dengan itu, rakyat sentiasa diletakkan di landasan yang betul. Mereka tahu apa yang kita mahu. Dengan itu, mereka tidak bertindak atau beralih kepada keganasan dalam usaha mencapai matlamat perjuangan mereka.
Sebaliknya kita melakukannya mengikut perlembagaan. Pada masa ini, kita membaca mengenai ekstremisme (sikap melampau). Kita mendengar mengenai jihad, mujahidin dan sebagainya. Sepatutnya hentikan retorik dan duduk fikirkan apakah bentuk masyarakat yang hendak diwujudkan.
Apakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mampu menggantikan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad?
Memang sukar mendapatkan seorang pemimpin yang layak menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Tetapi saya percaya Abdullah akan belajar daripada jawatan yang dipegangnya untuk mengambil alih daripada Dr Mahathir.
Begitu juga Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong. Beliau juga pernah dikatakan tidak layak, tidak pandai bercakap dan sebagainya. Sebaliknya sekarang, beliau lebih dikenali daripada Lee Kuan Yew sendiri.
Apakah ada kemungkinan PAS berjaya memerintah negara ini? Saya tidak fikir begitu kerana negeri-negeri yang bermajoriti Melayu hanya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Saya fikir PAS sahaja tidak akan menang untuk memerintah negara ini. Lagipun ahli parti itu mula menjadi ekstremis. Orang Melayu sendiri takut dengan sikap itu.
Satu lagi faktor, masyarakat pertengahan Melayu sekarang juga berpengaruh. Terdapat kewujudan masyarakat pertengahan Melayu yang stabil di negara ini. Mereka mahu kestabilan, sama seperti yang dikehendaki oleh masyarakat bukan Melayu.
Di kawasan luar bandar, penduduknya kini bersikap materialistik. Mereka bermotivasi untuk membina kehidupan yang baik. Mungkin generasi di luar bandar sekarang orang kampung, tetapi anak-anak mereka bekerja, berpendidikan tinggi. Oleh itu, saya tidak nampak kemungkinan PAS akan dapat memerintah negara ini.
Saya tidak rasa PAS dapat menawan semua negeri, kecuali Kelantan dan Terengganu. Mungkin parti itu dapat menambah kerusi di Kedah atau setidak-tidaknya mungkin dapat mengurangkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional.
Tetapi gabungan parti pembangkang itu sendiripun bermasalah. PAS dan DAP kita lihat berperang mulut mengenai konsep negara Islam. DAP mahu memenangi semula sokongan masyarakat Cina. Itulah motif sebenarnya ia 'menyerang' PAS.
Dari apa yang saya lihat, MCA juga kuat. Untuk pertama kali MCA mendapat sokongan akar umbi masyarakat Cina, sepertimana yang dapat kita lihat sewaktu berlaku krisis dalam parti itu baru-baru ini. Lihat semula kepada sejarah MCA. Dulu wujud MCA Tan Siew Sin atau MCA Micheal Chen. MCA yang ada sekarang berbeza daripada yang sebelumnya - generasi baru Cina sekarang menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia sejati. Tanya mereka, jawapannya pasti 'saya rakyat Malaysia.' Dulu ramai yang tidak pandai bercakap bahasa Melayu, tetapi lihatlah sekarang.
Apakah Umno akhirnya akan dibuka keahliannya kepada semua kaum di negara ini?
Ia akan mengambil masa yang panjang untuk menjadi kenyataan. Saya rasa masyarakat Cina dan India lebih selesa berada dalam parti masing-masing. MCA dan MIC masih boleh memberi sumbangan, jadi mengapa mereka mesti menyertai Umno? Contohnya, MIC akan menubuhkan sebuah universiti perubatan di Melaka, dan sebuah lagi di Perlis.
Saya rasa kehadiran MCA dan MIC ada kepentingannya tersendiri: orang Melayu mengenai pendidikan, orang China mahukan kestabilan, dan keselamatan, manakala masyarakat India, yang masih menghadapi masalah social dan ekonomi, masih memerlukan pembelaan MIC. Saya bercakap mengenai masyarakat India yang masih tinggal di estet. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk mereka.

