PRK SANDAKAN | Penamaan calon bagi Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan ditetapkan pada hari ini. 

Setakat ini dua pesaing utama dijangka dari DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

DAP akan meletakkan Vivian Wong Shir Yee, 30 anak perempuan bekas Anggota Parlimen Sandakan, Stephen Wong.

Vivian pernah menjadi pegawai khas kepada mendiang bapanya.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata, Warisan, Upko dan Pakatan Harapan akan memberi sokongan penuh kepada Vivian.

Walaupun tidak menyertai Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Upko bekerjasama dengan gabungan itu di kedua-dua peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.

Sementara itu, PBS akan meletakkan bekas Anggota Parlimen Batu Sapi, Linda Tsen 64 pada pilihan raya kecil ini.

Parti itu berkata mereka berharap dapat memanfaatkan pengalaman Tsen yang pernah menjadi anggota parlimen selama dua penggal.

Tsen memenangi kerusi Batu Sapi pada pilihan raya kecil 2010 selepas suaminya yang juga penyandang kerusi berkenaan, Edmund Chong terbunuh dalam kemalangan.

Kerusi Parlimen Batu Sapi terletak bersebelahan parlimen Sandakan.

Walaupun BN mengumumkan mereka tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata parti itu akan menyokong calon PBS.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian Wong akibat serangan jantung bulan lepas.

Wong, yang juga bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, memenangi kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi menewaskan Lim Ming Ho dari Parti Demokratik Liberal (LDP). LDP adalah bekas parti komponen BN.

Terdapat 39,777 pengundi di Sandakan dengan 51 peratus pengundi Cina, 26 peratus Bumiputera Sabah, 16 peratus Melayu dan 7 peratus lain-lain kaum.

Hari mengundi dijadualkan pada 11 Mei.