Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PRK Sandakan: Tiga calon bebas turut bertanding

PRK SANDAKAN | Sekurang-kurangnya tiga calon bebas mengemukakan kertas pencalonan mereka bagi bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan di Sabah.

Ketiga-tiga mereka yang tiba di pusat penamaan calon di SMJK Tiong Hua sebelum jam 10 pagi ialah Hamzah Abdullah, Chia Siew Yong dan Sulaiman Abdul Samad.

Hamzah, 65, adalah bekas pengerusi Amanah Sabah dan bekas pesuruhjaya PAS Sabah.

Dalam satu kenyataan yang dihantar pagi ini, Amanah menyatakan Hamzah telah menghantar notis untuk keluar parti semalam.

"Amanah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa sumbangan yang telah beliau sumbangkan sepanjang memimpin parti ini di Sabah," kata Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir.

Terdahulu dilaporkan Hamzah, yang tewas di kerusi Parlimen Batu Sapi pada PRU14 lalu meletak jawatan dari partinya pada Ogos lalu, dengan mendakwa beliau tidak mendapat kerjasama beberapa anggota parti.

Sementara itu, Chia terlibat dalam perniagaan minyak kelapa sawit yang diusahakan keluarganya.

Berusia 46 tahun, beliau merupakan penasihat kepada NGO Suara Bebas Rakyat.

Seorang lagi calon Bebas yang menyerahkan kertas pencalonan ialah Sulaiman Abdul Samad, 36. 

Beliau merupakan bekas pembantu tadbir di pusat khidmat Anggota Parlimen Sandakan sebelum ini, mendiang Stephen Wong.

Sementara itu Bernama melaporkan proses penamaan calon PRK Parlimen Sandakan bermula 9 pagi ini di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua di Sandakan.

Hujan renyai-renyai tidak menghalang kehadiran penyokong parti yang bertanding untuk berkumpul sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Penyokong DAP berkumpul di BDC Light Industrial manakala penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) berhimpun di Bandar Maju, kedua-dua tempat berkenaan berdekatan dengan pusat penamaan calon.

Sementara itu, beberapa laluan menuju ke SMJK Tiong Hua ditutup dan dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal 6 pagi tadi.

Calon-calon mempunyai tempoh sejam sehingga 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi.

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 28 Mac lepas.

Pada 5 April lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Sandakan ditetapkan hari ini, dan hari mengundi pada 11 Mei depan dengan hari pengundian awal pada 7 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Tanjong Papat dan Elopura - dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Mendiang Wong dipilih sebagai anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) apabila berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Leong Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.

Pada PRU14 lepas, mendiang Wong berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi setelah menewaskan calon BN Datuk Lim Ming Hoo.


Lihat Komen
ADS