Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Husin: Sentimen kaum, agama diguna bagi kukuhkan kedudukan

Sarjana antropologi dan sosiologi Syed Husin Ali berkata sentimen perkauman dan agama digunakan sesetengah orang Melayu kerana bimbang kedudukan mereka tergugat.

Jelas Syed Husin, sentimen itu dimainkan golongan berkenaan termasuklah dalam menanggapi isu Statut Rom dengan harapan dapat mengukuhkan kedudukan orang Melayu.

"Tentang perkauman, kita dapati walaupun orang Melayu paling ramai tapi malangnya mereka dalam keadaan ketakutan.

“Segelintir pemimpin terkapai-kapai untuk beri kekuatan kepada golongan mereka dan juga dirinya sendiri. Itu sebab mereka gunakan perkauman, agama dan sekarang ini soal Statut Rom.

"Mereka gunakan ini untuk kuatkan raja dan diri mereka,” katanya dalam forum di Universiti Malaya hari ini.

Forum berkenaan dianjurkan sekumpulan aktivis pelajar bagi membincangkan keputusan kerajaan Malaysia menarik diri dari menyertai Statut Rom.

Syed Husin yang juga merupakan timbalan pengerusi majlis penasihat PKR itu berkata, pada masa yang sama, campur tangan golongan istana dalam soal politik yang dilihat semakin kerap menyebabkan pertembungan dengan pihak lain.

"Raja tidak boleh campur tangan politik, perniagaan dan ekonomi tetapi itulah yang banyak dilakukan dan makin bertambah campur tangan politik," katanya sambil menambah bahawa pertembungan antara golongan istana dan rakyat biasa bukan perkara baru.

Sebelum ini, ketika mengumumkan keputusan kerajaan untuk menarik diri dari menyertai Statut Rom, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat usaha pihak tertentu untuk melagakan golongan istana dan pemerintah.

Forum hari ini diadakan susulan pendedahan rumusan eksekutif yang dibentangkan ahli akademik yang dikatakan digunakan bagi meyakinkan majlis raja-raja menolak Statut Rom.

Empat pensyarah yang dikaitkan dengan dokumen itu ialah Timbalan Naib Canselor Univerisiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Rahmat Mohamad, pensyarah undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Shamrahayu Abdul Aziz.

Keempat-empat mereka dijemput menyertai forum berkenaan namun kesemuanya tidak hadir hari ini.

Lihat Komen
ADS