MB S'ngor turun padang tinjau flat retak
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini turun padang untuk melihat sendiri situasi di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di Kuala Lumpur yang mengalami masalah keretakan.
Amirudin meninjau dengan lebih dekat keretakan yang berlaku termasuk di aras empat dan aras bawah blok berkenaan.
Beliau diberi taklimat oleh Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan wakil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sepanjang tinjauan itu.
Dalam sidang media selepas itu, Amirudin berkata siasatan dan kajian mendalam oleh pasukan teknikal akan berterusan selama tiga hari sebelum sebarang keputusan berkaitan nasib penghuni terlibat dibuat.
"Kalau ada pengesahan berhubung pergerakan tanah dan keretakan bangunan, pihak PKNS telah membuat persetujuan untuk membaik pulih tanah dan bangunan tersebut dan kami memerlukan sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan untuk memulihkannya berdasarkan pengalaman lepas,” katanya.
Amirudin turut meluangkan masa untuk bersama penduduk terjejas dan menyampaikan bantuan berupa makanan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat.
"Kami telah membuat persediaan terutama PKNS untuk sediakan penempatan sementara atau bayaran sewaan kepada keluarga dan isi rumah terbabit melibatkan 37 keluarga berkenaan, namun segalanya bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan," katanya.
Beliau berkata ini merupakan laporan pertama kali diterima pihaknya mengenai kejadian itu dan menerusi pandangan mata kasar, corak keretakan di blok terbabit dilihat menuju ke satu bucu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini hanya blok F sahaja yang dikesan mengalami keretakan manakala blok-blok lain di kawasan itu masih selamat untuk diduduki.
"Kalau ada perkembangan baharu di kawasan berkenaan sila buat laporan, kami juga siap siaga dengan sebarang kemungkinan," katanya.
Lebih 200 penghuni Blok F dikehendaki berpindah susulan keretakan aktif di bangunan itu dilaporkan berlaku semalam dengan SMK Taman Keramat dijadikan pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan.
- Bernama


