Kaji selidik oleh mana-mana firma tinjauan pendapat terhadap pentadbiran kerajaan PH sangat dialu-alukan bagi memberi gambaran kepada rakyat mengenai prestasi kerajaan, kata Anggota Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, hasil kajian itu juga dapat mengingatkan kerajaan supaya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan boleh dijadikan asas untuk merangka pelan dan tindakan demi kesejahteraan dan kepuasan rakyat.

“Kajian-kajian seperti ini dapat memberi gambaran corak pentadbiran kerajaan sekarang dan tahap prestasi yang diberikan kepada rakyat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada BN.

“Saya mengalu-alukan kajian ini sekurang-kurangnya kita tidak berasa syok (seronok) sendiri.

“Kita dapat memperolehi maklum balas tepat di mana silap dan kurangnya pentadbiran pada hari ini dan hasil kajian itu kemudian kita boleh rangka tindakan yang sepatutnya supaya kita menjadi kerajaan yang diidamkan rakyat,” katanya kepada pemberita pada program Tanggungjawab Sosial Korporat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan tinjauan pendapat oleh Merdeka Center yang dikeluarkan semalam yang mendapati kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PH merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei tahun lalu kepada 39 peratus pada 11 Mac lepas.

Kaji selidik melibatkan 1,204 pengundi yang dijalankan di seluruh Malaysia di antara 5 dan 11 Mac lepas itu turut menunjukkan hanya 34 peratus responden percaya negara kini berada di landasan yang betul berbanding 55 peratus pada Ogos 2018.

Selain itu, kajian sama mendapati hanya 46 peratus rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Amiruddin berkata, kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak untuk melakukan kajian seumpama itu, namun beliau khuatir hasil dapatannya kadang kala mungkin mengundang kepada persepsi yang tidak benar.

“Kita baru nak masuk setahun dan ada benda yang telah kita laksanakan, namun cabaran kita sekarang ini untuk melawan persepsi yang tidak benar kerana persepsi mudah untuk dibentuk dengan penggunaan media sosial yang diviralkan,” katanya.

Terdahulu pada program itu, seramai 30 keluarga di Kampung Tradisi Lembah Keriang, dekat Changlun menerima sumbangan daripada LHDN berupa makanan serta barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka dan sebagai persediaan menyambut Ramadan.

- Bernama