PM akan umum tindakan terhadap NST sehari dua lagi
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengumumkan tindakan yang boleh diambil terhadap akhbar New Straits Times (NST) mengenai penyiaran lakaran kartun yang mengaitkan isu karikatur menghina Nabi Muhammad SAW "dalam tempoh sehari dua lagi".
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengumumkan tindakan yang boleh diambil terhadap akhbar New Straits Times (NST) mengenai penyiaran lakaran kartun yang mengaitkan isu karikatur menghina Nabi Muhammad SAW "dalam tempoh sehari dua lagi".
Katanya, beliau akan menunggu laporan dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berhubung perkara tersebut.
"Saya tengok dulu laporan barulah kita ambil tindakan. Nak buat apa-apa pun ada peraturan, jadi kalau saya tiba-tiba memberi pandangan saya atau reaksi yang saya dengar macam-macam, tak bolehlah," katanya selepas majlis penyerahan cek kepada tuan tanah Felda Sendayan hari ini.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata itu jugalah sebabnya semalam beliau tidak berjumpa media untuk memberitahu perkara itu.
Ditanya mengenai bentuk tindakan yang bakal diambil memandangkan akhbar berkenaan adalah antara yang tertua di negara ini, Abdullah berkata beliau perlu melihat dulu laporan berkenaan.
"Tak timbul (soal itu). Yang penting biar saya tengok dulu. Jadi kalau saya cuba beri alasan pulak, nanti orang kata belum buat keputusan sudah bermacam pandangan diminta. Tak lama sehari dua sahaja," katanya.
Kementerian itu semalam memberikan NST surat tunjuk sebab kenapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya kerana menyiarkan kartun itu dan diberi tiga hari untuk memberikan penjelasan secara bertulis.
Mesti berhati-hati
Kartun itu disiarkan NST Isnin lalu dan sekali lagi semalam mengiringi komen akhbar itu mengenai penyiarannya.
Pada 9 Februari lalu, permit penerbitan akhbar tertua di Sarawak Sarawak Tribune digantung kerana menyiarkan semula karikatur menghina Nabi Muhammad yang diterbitkan pertama kalinya oleh sebuah akhbar Denmark, diikuti dengan beberapa akhbar Eropah, sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Penerbitan akhbar berbahasa Cina Guang Ming Daily edisi petang turut digantung dua minggu mulai 16 Feb kerana menerbitkan gambar orang membaca akhbar yang menunjukkan karikatur berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussien mengulangi gesaannya supaya semua pihak mengambil pengajaran terhadap isu penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan berhati-hati dengan sebarang tindakan lain yang menyentuh isu itu.
"Kita tidak boleh sekat semua orang dan saya harap semua berhati-hatilah dan sensitif dalam hal ini," kata beliau yang juga Menteri Pelajaran.
"(Kerana) kadang-kadang kalau kita tidak ingatkan kepada diri, kita tidak ingatkan kepada kawan-kawan kita, perkara-perkara yang kadangkala kita lihat secara remeh, tidak menimbulkan masalah dalam suasana biasa, isu-isu ini (jika berulang) boleh menimbulkan kemarahan," katanya selepas mesyuarat mingguan Kementerian Pelajaran.
Beberapa pertubuhan membuat laporan polis terhadap akhbar itu kerana menyiarkan kartun berkenaan dan ada pihak, termasuk Biro Agama Pemuda Umno, dilaporkan mendesak pengarang NST supaya memohon maaf kepada umat Islam dan semua kaum di Malaysia berikutan tindakannya itu menyiarkan kartun lakaran Wiley Miller itu.
Pohon maaf
Manakala Exco Pemuda Umno yang juga Penyelaras Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, NST tidak sepatutnya mempertahankan tindakannya menyiarkan kartun tersebut, sebaliknya mengakui kesalahannya dan memohon maaf.
Menurutnya, NST perlu menukar pendirian mereka berhubung penyiaran isu kartun berkenaan kerana tindakan NST mempertahankan tindakannya menyiarkan kartun tersebut, sebenarnya hanya mengelak isu utama iaitu penghinaan terhadap agama.
"Jika ia (penyiaran kartun) disengajakan, mereka patut mengaku dan memohon maaf.
"Kami terkejut kerana mereka (NST) menggunakan alasan kebebasan akhbar dan menafikan kartun itu menghina Rasulullah dan Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, Rabu.

