Anwar beri kiasan bapa meninggal dengan beban hutang
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengungkapkan kiasan seorang bapa meninggal dunia dengan beban hutang bagi memberi gambaran keadaan yang dihadapi institusi utama negara.
Beliau berkata harapan rakyat terhadap kerajaan begitu tinggi namun mengakui cabaran untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai situasi negara.
"Orang kata, dulu Tabung Haji dapat lebih, Felda dapat lebih, 1MDB ada tetapi dapat BR1M. Tapi nak terangkan bahawa ekonomi ini terikat dengan kekuatan dana yang kita ada.
"Kalau dulu masa ada orang sebagai kepala keluarga (bapa) dia belanja sebanyak mungkin, bagi pada anak puluh ribu seorang.
"Bila dia meninggal rupanya didapati hutang bank berjuta-juta, jadi anak yang ambil alih itu tidak boleh diharapkan bagi benda yang sama. Dalam hal ini kita perlu jelas, perlu ambil masa untuk orang faham, dulu dapat sekarang tak dapat," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan PH Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Tahap keyakinan merosot
Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi yang dihadapi negara selepas PH mengambil alih pemerintahan pada pilihan raya umum lalu.
Ia susulan laporan kaji selidik oleh Merdeka Center yang menyatakan tahap keyakinan rakyat kepada PH semakin merosot dalam aspek pengurusan ekonomi negara.
Anwar yang juga ketua umum PH turut memetik kata-kata tokoh ekonomi dunia, Adam Smith bahawa ekonomi negara juga seperti ekonomi rumah tangga.
"Dia tak tahu yang dia dapat dulu adalah hutang, atau wang itu dah hilang dengan berjudi ke, belanja ke, ini yang kita kena terangkan.
"Ekonomi negara pun macam kata Adam Smith, macam ekonomi rumah tangga lah, kalau kita dah belanja boros banyak semasa kita ada, yang dapat akan seronok. Tapi dia lupa bahawa selepas itu, baru diketahui tanggungan besar.
"Ini tidak bermakna kita tidak boleh perbaiki prestasi kita, PH adalah parti reformasi, parti reformasi ini selalunya ambil sikap pendekatan yang positif," katanya.
Oleh itu jelas Anwar, jika ada kelemahan dan teguran kerajaan tidak harus angkuh dengan menganggap apa yang dilaksanaka semuanya sempurna, sebaliknya kita cuba memperbaiki," katanya yang juga anggota parlimen Port Dickson.

