Akhbar The New Straits Times (NST) hari ini memohon maaf di atas penyiaran kartun yang berkaitan dengan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

NST melalui ruangan Life & Time pada Isnin lalu telah menyiarkan karikatur tersebut pada muka surat lapan akhbar tersebut dan menyiarkan semula lakaran itu semalam di muka dua.

Permohonan maaf tersebut disiarkan di muka depan akhbar berkenaan hari ini, sambil menjelaskan apa yang berlaku adalah kerana kesilapan manusia sendiri.

Bagaimanapun, NST menjelaskan, lakaran kartun yang disiarkan itu berbeza sama sekali dengan lakaran karikatur yang telah menimbulkan kontroversi dan kemarahan umat Islam.

NST mengakui pihaknya telah tersilap tanggapan reaksi pelbagai pihak terhadap penyiaran kartun.

Di samping itu, NST juga telah membalas surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDDN) berhubung penyiaran kartun itu.

NSTP diberi tempoh tiga hari mulai kelmarin untuk menjawab surat tersebut yang ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran, KKDN, Abdul Rahim Mohd Razi.

Tidak sensitif

Penyiaran kartun tersebut telah mencetuskan desakan daripada pelbagai pihak, termasuk Pergerakan Pemuda Umno dan Pemuda PAS yang menuntut supaya NST memohon maaf kepada umat Islam berhubung perkara tersebut.

Malah, beberapa pihak, termasuk PAS telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu. Ianya juga mendapatkan kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat editor NST perlu digantung kerja, kerana tidak sensitif terhadap perasaan Umat Islam.

Pemuda PAS juga merancangkan mengadakan demonstrasi di hadapan Balai Berita sekiranya pihak NST gagal memohon maaf terhadap penyiaran kartun itu.

Sebelum ini, KKDN telah menggantung permit akhbar Sarawak Tribune pada 9 Februari lalu bagi tempoh yang tidak ditetapkan, kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW yang disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark sehinggal menimbulkan kemarahan umat Islam.

Penerbitan akhbar berbahasa Cina edisi petang, Guang Ming Daily turut digantung selama dua minggu mulai 16 Februari kerana menerbitkan gambar orang membaca akhbar yang menunjukkan karikatur tersebut.