Lembaga pengarah Southern Bank Bhd (SBB) tetap dengan pendiriannya yang sebulat suara menolak cadangan pengambilalihan bank berkenaan oleh Bumiputra Commerce Holdings Bhd (BCHB) bernilai RM6.3 bilion.

Pengarah bukan eksekutif bebas Lembaga Pengarah SBB, Datuk Nicholas Spiro Zefferys berkata, berkata "penjualan aset yang tidak diminta itu ditolak atas dasar ia pada asasnya menilai rendah SBB".

Katanya, Lembaga pengarah SBB juga mempersoalkan kewajaran dan objektif Killinghall (Malaysia) Bhd pemegang saham terbesar SBB untuk menyingkir empat pengarah bank itu.

"Kami amat memandang berat percubaan pemegang-pemegang saham tertentu untuk menyingkir kami daripada lembaga Southern Bank," kata Zefferys salah seorang pengarah yang mahu disingkirkan oleh Killinghall.

Seorang lagi pengarah bukan eksekutif bebas, Dr Sieh Lee Mei Ling, dan pengarah eksekutif bukan bebas, Tengku Zaitun Tengku Mahadi, yang ingin disingkirkan oleh Killinghall, turut hadir di sidang akhbar semalam bagi menjawab kenyataan Killinghall kelmarin.

Menurut laporan Bernama, Ian Buchanan, juga seorang pengarah bukan eksekutif bebas SBB yang berada dalam senarai penyingkiran Killinghall, tidak hadir kerana berada di luar negara.

Killinghall meminta diadakan dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) berasingan yang pertama untuk menyingkirkan pengarah-pengarah berkenaan dan meluluskan penggantian pengarah, manakala yang kedua untuk meluluskan cadangan pengambilalihan Bumiputra-Commerce Holdings Bhd (BCHB) dan untuk mempertimbangkan sebarang cadangan lain yang mungkin dibuat oleh lembaga SBB.

Tindakan mahkamah

Ditanya sama ada pengarah-pengarah berkenaan bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah, Zefferys berkata mereka sedang mengkaji semua pilihan. Tindakan mahkamah adalah pendekatan terakhir tetapi masih merupakan satu pilihan.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, SBB berkata ia akan melayan gesaan Killinghall untuk mengadakan EGM bagi menyingkir pengarah-pengarah berkenaan setelah memahami kewajaran dan objektifnya.

Ia merasakan hasrat Killinghall itu, pada asasnya, akan mengubah komposisi lembaga SBB kerana ia bererti menggantikan empat daripada tujuh pengarah pada saat-saat genting ini.

SBB berkata, ia akan menjawab komunikasi langsung yang diterimanya semalam daripada Killinghall selepas mengkajinya dengan sempurna.

Ia juga menegaskan lembaga pengarah telah menjalankan tanggungjawabnya untuk memaksimumkan nilai bagi semua pemegang saham dan melindungi kepentingan semua pemilik kepentingan, termasuk pelanggan dan pekerja.