Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah anjur demo isu Statut Rom, Sabtu ini
Diterbitkan:  Apr 29, 2019 3:19 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) akan menganjurkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam secara besar-besaran di ibu negara, Sabtu 4 Mei ini.

Timbalan pengerusinya, Kamaruzaman Mohamad berkata pihaknya juga akan turut membangkitkan isu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada perhimpunan itu.

"Himpunan ini akan bermula di Masjid Jamek selepas daripada solat zuhur dan akan berakhir di Sogo sebagai pentas ucapan pimpinan NGO dan parti politik yang hadir bersama.

"Himpunan ini akan menyentuh isu ancaman kepada kedaulatan negara yang meliputi isu Statut Rom, isu arwah Adib, isu Bahasa Kebangsaan, isu UEC, dan isu-isu lain yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Ummah menyeru seluruh rakyat Malaysia turun beramai-ramai menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405) di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bukan kerana statut itu membahayakan negara tetapi disebabkan kekeliruan oleh "orang tertentu yang ingin bebas memukul orang."

Statut berkenaan dikritik beberapa pihak, terutamanya Tunku Ismail yang mengatakan ia mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Ekoran penarikan itu sekumpulan mahasiswa mencuri tumpuan apabila membocorkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat pensyarah yang didakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom.

Lihat Komen
ADS