Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Najib ada RM1.9b dalam salah satu akaun pada 2013

KES NAJIB | Prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa baki dalam salah satu daripada beberapa akaun AmIslamic Bank bekas perdana menteri Najib pada 2013 mencecah RM1.9 bilion.

Perkara itu disahkan oleh saksi R Uma Devi yang merupakan pengurus bank Jalan Raka Chulan, yang menjawab soalan peguam bela Harvinderjit Singh.

Sebelum itu, Harvinderjit bertanya tentang beberapa transaksi termasuk prosedur dalam melaporkan transaksi jumlah besar kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Prosiding dimaklumkan bahawa pada 2012, baki dalam akaun berkenaan berjumlah RM756 juta.

Uma Devi juga memberi keterangan bahawa RM304 juta didepositkan dalam akaun itu pada 2011 oleh kementerian kewangan Arab Saudi.

Harvinderjit: Soalan saya, adakah transaksi berkenaan dibuat daripada sebuah akaun di bawah nama Kementerian Kewangan Riyadh (Arab Saudi)?

Uma Devi: Ya.

Harvinderjit: Saya tak fikir mana-mana akaun bank boleh ada jumlah transaksi sebesar itu tanpa penelitian BNM?

Uma Devi: Ya.

Harvinderjit: Perlu dilaporkan tanpa mengambil kira siapa pemegang akaun?

Uma Devi: Ya.

Terdahulu, Harvinderjit meminta Uma Devi mengesahkan koresponden daripada Najib kepada bank bertarikh 30 Julai 2013 yang mana perdana menteri menyatakan niatnya untuk "memulangkan AS$620 juta" dari akaun banknya.

Harvinderjit bertanya: "Adakah anda setuju bahawa bank maklum jumlah wang yang dikreditkan dalam akan adalah derma dan hadiah, dan ada perwakilan dibuat kepada bank pada 2013, (yang mengatakan) 'saya pulangkan jumlah yang belum digunakan ini semula'?"

Harvinderjit menanyakan soalan itu sambil menambah bahawa ia menggambarkan wang berkenaan dipulangkan kepada pengirimnya.

Uma Devi bersetuju.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS