Kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap New Straits Times setelah akhbar itu memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kartun yang dianggap mempersendakan Nabi Muhammad SAW.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menganggap isu itu selesai setelah akhbar berkenaan menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang telah berlaku.

NST hari ini memohon maaf di atas penyiaran kartun yang berkaitan dengan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Kartun tersebut disiarkan di ruangan Life & Time Isnin lalu pada muka surat lapan akhbar tersebut dan menyiarkan semula lakaran itu semalam di muka dua. Di samping itu, NST juga telah membalas surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDDN) berhubung penyiaran kartun itu.

"Setelah mereka minta maaf secara terbuka, tidak ada apa-apa syarat dan mengakui apa yang mereka lakukan itu telah menimbulkan pelbagai reaksi," kata Abdullah.

"Saya tidak ada apa-apa tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Guru Penyayang Pemangkin Pembinaan Insan" di Kepala Batas hari ini.

Maklumat mengenai RTM

Abdullah berkata, akhbar itu telah menyiarkan kenyataan memohon maaf di muka depannya dan tidak ada berita-berita lain yang dimasukkan di muka surat itu dan ini menunjukkan bahawa mereka benar-benar mahukan pembaca mengetahui mengenai pendirian mereka.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, NST juga telah diberitahu bahawa tindakan mereka menyiarkan karikatur itu adalah satu tindakan "tidak elok".

"Isu ini telah selesai kerana daripada segi undang-undang ia tidak bersabit dengan lukisan karikatur Nabi Muhammad SAW. Itu sebenarnya menjadi perkara yang berkaitan dengan keputusan ini," katanya.

Bagaimanapun beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan bahawa berita Mandarin RTM ada menyiarkan mengenai karikatur Rasullullah dalam siaran beritanya baru-baru ini.

"Sayapun ada dengar, biar saya dapatkan maklumat sepenuhnya.

"Saya dah pernah bagi ingatan sebelum ini supaya tidak lagi menyiarkan karikatur yang menyentuh sesitiviti umat Islam. Kalau dah ada berita mengenai tindakan yang telah diambil terhadap akhbar-akhbar lain sebelum ini, takkan mereka tak baca," katanya.

Abdullah berkata editor perlu mengetahui perkara ini dan tidak perlu mengulangi kesilapan yang sama setelah mereka diberikan ingatan. "Setelah mereka diberi peringatan, tindakan seperti tidak harus terus berlaku," katanya.