Karikatur hina Nabi: RTM akan dipanggil beri penjelasan
Pengurusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dipanggil bagi membuat penjelasan berhubung penayangan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Pengurusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dipanggil bagi membuat penjelasan berhubung penayangan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Ketika menegaskan demikian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu perlu disiasat secara mendalam memandangkan ia telah sampai ke pengetahuan kerajaan.
"Kita akan siasat. Kita baru dapat tahu. Kita akan panggil RTM untuk mengetahui apa yang berlaku, kenapa ia ditayangkan. Kita akan mencari puncanya," kata beliau dalam persidangan media selepas merasmikan Konvesyen Pemimpin Muda 2006 di Shah Alam hari ini.
Bernama melaporkan, New Straits Times hari ini mendedahkan RTM menerusi siaran Berita Mandarin di saluran TV2 pada 3 Februari lalu, menayangkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
NST yang memperolehi salinan program berita itu menyerahkannya kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri semalam
Malaysiakini juga turut menyiarkan berita mengenai perkara yang sama malam tadi.
Sememtara itu Najib berkata, siasatan mendalam perlu dijalankan sebelum kerajaan menentukan tindakan yang boleh dikenakan.
Katanya beliau turut berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perkara itu pagi tadi.
Selesema burung
Mengenai avian influenza, Najib berkata apa yang penting ialah keadaan di sekitar kawasan Jalan Genting Klang yang diserang dengan virus itu terkawal.
Beliau berkata, segala bentuk tindakan yang diambil bagi mengawal keadaan berlandaskan peraturan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Semalam, dua lagi penduduk dari kawasan yang diserang virus avian influenza H5N1 di Kampung Batu 4 1/2 Jalan Genting Klang, Setapak, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disyaki dijangkiti virus itu.
Wanita berusia 49 tahun serta kanak-kanak berusia 10 tahun itu kini dirawat di wad khas HKL bersama dua lagi kanak-kanak yang dimasukkan semalam dan pada Rabu, masing-masing berusia 18 bulan dan dua tahun kerana mempunyai tanda jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk serta selesema.
Ujian pengesahan jangkitan virus itu terhadap empat pesakit berkenaan masih dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.