Cubaan rampasan kuasa: Arroyo isytihar perintah darurat
Filipina mengisytiharkan perintah darurat hari ini selepas selepas pihak tentera berjaya mematahkan satu percubaan untuk mengguling Presiden Gloria Macapagal Arroyo.
Filipina mengisytiharkan perintah darurat hari ini selepas selepas pihak tentera berjaya mematahkan satu percubaan untuk mengguling Presiden Gloria Macapagal Arroyo.
Menurut agensi berita asing, Arroyo membuat pengumuman tersebut melalui televisyen selepas Lt-Jen Lt Gen. Hermogenes Esperon berkata: "Kami percaya telah berjaya mematahkan satu cubaan rampasan kuasa."
Desas-desus mengenai rancangan untuk menggulingkan Arroyo yang sebelum ini terselamat dalam krisis tahun lalu berhubung dakwaan penipuan undi dan rasuah tersebar luas sepanjang minggu ini sempena ulangtahun pemberontakan 'kuasa rakyat' yang menjatuhkan diktator Ferdinand Marcos pada 1986.
"Saya telah mengisytiharkan perintah darurat," kata Arroyo dalam rakaman ucapannya di radio dan televisyen, sambil menambah, beliau telah memberi kuasa kepada pihak tentera untuk mengambil langkah dan tindakan sewajarnya.
"Ini adalah amaran saya terhadap mereka yang cuba menentang kerajaan," katanya.
Menurut Reuters, perintah eksekutif itu tidak memerlukan kelulusan pihak kongres.
Panglima ditahan
Perintah darurat, yang membolehkan tangkapan dibuat tanpa waran dan penahanan tanpa perbicaraan, adalah isu sensitif di Filipina selepas sembilan tahun negara ini berada di bawah pemerintahan tentera di zaman Marcos.
Satu lagi laporan memetik Ketua Panglima Tentera Filipina, Jeneral Generoso Senga sebagai berkata, seorang panglima dari pasukan ranjer elit telah ditahan.
Dia disyaki menjadi ketua kepada kumpulan yang merancang untuk menyertai bantahan terhadap Arroyo anjuran musuh politik presiden itu hari ini.
Pihak tentera pula berkata, kumpulan tersebut merancang untuk mengumumkan kepada mereka yang menyertai bantahan itu, bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap presiden, dengan harapan ianya akan mencetuskan pemberontakan menentang Arroyo.

