Daim-Halim, dua nama besar dalam isu Metramac
Terdapat dua nama besar bermain di bibir orang ramai apabila Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan kes Fawziah Holdings lawan Metramac Corporation Sdn Bhd baru-baru ini.
Terdapat dua nama besar bermain di bibir orang ramai apabila Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan kes Fawziah Holdings lawan Metramac Corporation Sdn Bhd baru-baru ini.
Tun Daim Zainuddin dan "anak didiknya" Tan Sri Halim Saad telah membuat kenyataan balas bagi menafikan dakwaan berlakunya penyelewengan wang dalam Metramac sebagaimana yang disebut oleh Hakim Gopal Sri Ram dalam penghakimannya.
Berikut adalah profil dua tokoh yang pernah menguasai arena korporat negara ini.
Tun Daim Zainuddin
Dalam dunia politik dan ekonomi Malaysia, nama Tun Daim Zainuddin tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya sudah sinonim dengan ekonomi negara ini. Beliau dianggap arkitek ekonomi negara hingga berjaya membawa kemajuan dan pertumbuhan ekonomi yang besar.
Hingga kini, Daim masih dikenang kerana kemampuannya memulihkan ekonomi negara dari kemerosotan tahun 1980-an. Pada era Daim, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan dua angka dan pelaburan asing berlipat ganda.
Daim, anak kelahiran Kedah yang kini berusia 68 tahun ini, diangkat menjadi Menteri Kewangan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1984. Beliau memegang jawatan itu hingga tahun 1991. Namun, walaupun telah melepaskan jawatan Menteri Kewangannya, Daim kekal sebagai Bendahari Umno dan penasihat ekonomi kerajan.
Beliau kembali menyertai kabinet Dr Mahathir pada tahun 1998 apabila meletus konflik Mahathir-Anwar. Daim dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas bagi menangani kemelesetan ekonomi akibat krisis kewangan tahun 1997. Dia melepaskan jawatan itu pada bulan Mei 2001.
Sebelum menyertai kabinet Dr Mahathir, Daim adalah seoarng ahli perniagaan yang berjaya. Beliau merupakan antara pemaju hartanah yang pertama memajukan projek perumahan di ibunegara, sejak tahun 1973.
Hubungan baiknya dengan Dr Mahathir dan tokoh-tokoh Umno, telah menyebabkannya dilantik sebagai pengerusi Peremba pada tahun 1979. Pada tahun 1982 beliau dilantik menerajui syarikat pelaburan Umno, Fleet Group.
Penguasaan korporat Daim makin ketara pada tahun 1983 apabila beliau menguasai syarikat awam Raleigh Berhad. Pada tahun 1984, Daim sekali mengejutkan arena korporat negara apabila membeli 20 peratus ekuiti dalam New Straits Times Press Berhad (NSTP) menerusi syarikat keluarganya, Daza Sdn Bhd.
Pada zaman kemuncaknya, Daim turut mempunyai kepentingan dalam United Malayan Banking Corporation, Sime Darby, Technology Resources Industries Berhad, Cold Storage, Guthrie Ropel, Idris Hydraulic, Bolton Holdings dan Oriental Holdings.
Tokoh korporat ini yang dilahirkan pada 1938, pernah bekerja sebagai guru, sebelum melanjutkan pelajarannya ke England pada tahun 1950-an dalam bidang guaman. Pernah membuka firma guamannya di Kelantan, berkhidmat sebagai majistret dan pendakwaraya sebelum menceburi bidang perniagaan.
Daim dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang licik, pintar dan bercita-cita besar tetapi dalam hiraki politik, dari awal lagi menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai cita-cita tinggi.
Beliau menyertai kabinet semata-mata kerana mahu membantu Dr Mahathir yang merupakan sahabat karibnya serta membantu memulihkan ekonomi negara yang ketika itu sedang dilanda kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi.
Ketika menjadi Menteri Kewangan, Daim dianggap sebagai orang kedua paling berkuasa di negara ini. Daim meninggalkan kabinet buat kali kedua pada 2001 setelah berjaya memulihkan semula ekonomi negara daripada kesan krisis ekonomi.
Daim datang secara senyap dan beliau meninggalkan kerajaan juga secara senyap. Namun Daim hanya bersara dari kerajaan, minat utamanya - berniaga masih diteruskan hingga kini. Sentuhan emas Daim sentiasa dikenang dan dinantikan.
Tan Sri Halim Saad
Halim Saad muncul dalam sektor korporat Malaysia pada tahun 1980 apabila menyertai Peremba, sebuah syarikat pembangunan hartanah milik Perbadanan pembangunan Bandar (UDA).
Beliau merupakan salah seorang daripada "anak didik" bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang ketika itu mengetuai Peremba.
Halim, anak kelapan dari sembilan adik beradik mendapat pendidikan awal di Perlis. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Victoria di New Zealand. Selepas mendapat ijazah dalam bidang perakuanan, Halim pulang ke tanahair pada hujung tahun 1970-an.
Nama Halim mula membuka mata dunia korporat apabila pada Jun 1984 beliau dilantik sebagai salah seorang daripada dua pengarah, Hatibudi Sdn Bhd, syarikat pegangan pelaburan yang dikaitkan dengan Umno. Setahun selepas perlantikan tersebut, beliau mengambilalih United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM) yang ketika itu digantung urusniaganya di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Pada Julai 1987 UEM dianugerahkan kontrak pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) oleh kerajaan. Projek bernilai RM4 bilion bagi membina lebuhraya dari Johor Bharu hingga ke Bukit Kayu Hitam, Kedah itu, menjadikan UEM salah sebuah konglomerat infrastruktur dan kejuruteraan terbesar di negara ini.
Selepas menerajui UEM, Halim tidak memandang ke belakang lagi. Dengan dinaungi oleh Daim beliau mengembangkan sayap perniagaan UEM.
Pada tahun 1990 Halim melakukan penyusunan semula ke atas UEM dengan mengambilalih Renong Berhad. Semua perniagaan dan anak syarikat UEM dikonsolidasikan di bawah Renong. Sejak dari itu Renong dan semua anak syarikatnya seperti UEM, Time Engineering dan Plus Berhad menjadi saham kegemaran pelabur di BSKL.
Pada Ogos 1995 ketika pasaran saham memuncak, Renong sudah memiliki lebih 15 anak syarikat yang terbabit dalam industri pembinaan, kejuruteraan, hartanah, telekomunikasi, kewangan petroleum dan pengangkutan. Antaranya termasuklah Metramac Sdn Bhd, pemegang konsesi tol Cheras di ibunegara.
Harga saham Renong, UEM dan Time Engineering naik ke paras tertinggi. Ia mencecah paras tertinggi dalam sejarahnya apabila meningkat sebanyak 113 peratus pada tahun itu. Time Engineering disifatkan oleh para penganalisis pelaburan sebagai salah satu kaunter terbaik di Asia manakala UEM meraih pelbagai kontrak pembinaan di dalam dan luar negara termasuk membina Kompleks Sukan Komanwel 1998.
Bagaimanapun langit tidak selalu cerah, pada 1997 Renong mula menghadapi masalah kewangan dan keadaan menjadi lebih teruk bila berlaku krisis kewangan Asia. Akibat program pembesarannya yang agresif, Renong menanggung beban hutang RM34 bilion pada ketika itu.
Bagi menyelamatkan Renong yang " tenat", pada November 1999 Halim merangka satu skim pembiayaan yang kompleks dengan UEM dan Renong menerbitkan bon "zero coupon" bernilai RM2.2 bilion.
Halim juga cuba menyelamatkan Renong dengan cara membuat tawaran awam saham Time dotCom Berhad, namun usahanya gagal apabila penyenaraian syarikat berkenaan tidak mendapat sambutan dari para pelabur. Malah harganya merudum pada hari pertama ia disebutharga di BSKL.
Ketika menghadapi kemelut perniagaannya ini Halim turut mengalami krisis rumahtangga dengan isterinya hingga membawa kepada penceraiannya. Kes cerai Halim mendapat liputan luas kerana bekas isterinya menuntut kira-kira RM500 juta daripada aset milik Halim atas dasar harta sepencarian.
Pada Julai 2001 "sentuhan emas" Halim dalam dunia korporat Malaysia berakhir apabila kerajaan mengumumkan cadangan mengambilalih UEM dalam usaha untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.
Kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkan untuk mengambilalih UEM pada harga RM3.7 bilion. Dengan mengambilalih UEM, Khazanah Nasional Berhad muncul sebagai pemegang saham utama dalam Renong.
Pengambilaihan UEM dan Renong oleh kerajaan itu memberi isyarat era kegemilangan Halim dalam sektor korporat Malaysia telah berakhir. Khazanah Nasional melantik Datuk Azman Yahya bagi menggantikan tempat Halim.
Namun tidak segala-galanya sudah berakhir bagi Halim, ahli perniagaan berusia 48 tahun ini kini secara perlahan-lahan kembali dalam arena korporat Malaysia melalui beberapa syarikat peribadinya.
Walaupun tidak segah dulu, Halim kini melabur dalam beberapa syarikat berasaskan petroleum dan pembinaan di dalam dan luar negara. Halim masih bernafas walaupun tidak lagi menjadi "anak emas" kerajaan.

