‘Bossku’ Najib: Mereka nak saya ke?
PRK SANDAKAN l Kempen pilihan raya kecil Sandakan sedang berjalan tetapi setakat ini belum ada bayangan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak akan turun berkempen.
Najib yang membawakan watak "bosku" lazimnya bersama berkempen khususnya pada tiga pilihan raya kecil yang lalu dengan mengadakan sesi bertemu rakyat pada siang hari dan acara ceramah pada waktu malam.
Apabila ditanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sama ada beliau akan berkempen di Sandakan, Najib berkata ini bergantung kepada permintaan.
"Mereka nak saya ke?” soalnya.
Watak "bosku" membuat penampilan kali pertama semasa kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands yang menyaksikan watak aristrokat Najib bertukar kepada seorang rakyat marhaen.
BN memenangi tiga pilihan raya kecil berturut-turut sejak kemunculan "bosku" Najib.
Pada PRK Sandakan, BN tidak akan bertanding dan menyerahkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mewakili parti pembangkang.

Istilah "bosku" secara kebetulan berasal dari Sabah yang digunakan sebagai sebutan tidak rasmi di kalangan rakan-rakan.
Pilihan raya kecil Sandakan akan diadakan pada 11 Mei.






