Tindakan tiga guru disiplin menggunting tuduh 65 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang di Kuala Krau kerana dikatakan tidak mematuhi kritieria berpakaian, telah mengundang kemarahan ibu bapa pelajar terbabit.

Anggota Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohd Said berkata kejadian itu berlaku Rabu lalu ketika tiga guru disiplin berkenaan mengarahkan semua pelajar perempuan berhimpun di dewan untuk diperiksa .

Katanya, mereka kemudiannya bertindak menggunting tudung 65 pelajar kerana mendapati ia tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan dalam garispanduan oleh pengurusan sekolah berkenaan.

Ismail berkata, sekolah berkenaan difahamkan telah mengeluarkan garispanduan sendiri kepada para pelajar mengenai cara berpakaian yang dibenarkan.

"Garis panduan tersebut menggariskan semua pelajar perempuan beragama Islam hanya dibenarkan memakai tudung labuh dari jenis bulat yang lazimnya digunakan oleh pelajar sekolah agama.

"Ini berbeza dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran, yang mensyaratkan pelajar perempuan Islam yang ingin bertudung, mengenakan tudung berbentuk segi tiga atau skaf," kata kepada Bernama.

Susahkan ibubapa

Beliau berkata tindakan guru berkenaan mengundang kemarahan ibu bapa pelajar terbabit yang mendesak supaya tindakan dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

"Pihak sekolah sepatutnya menggunakan budi bicara dalam hal ini, bukan terus mengambil tindakan yang menyusahkan ibu bapa pelajar kerana ada di antara mereka hanya menjalankan kerja-kerja kampung dengan sumber kewangan yang terhad.

"Seharusnya mereka mengambil inisiatif dengan menghantar surat pemberitahuan kepada ibu bapa terlebih dahulu dan memanggil mereka untuk berbincang sebelum mengambil tindakan," katanya.

Ismail berkata beliau sudah menghubungi Menteri Pelajaran Datuk Hishammuddin Tun Hussein malam tadi berhubung kejadian tersebut dan beliau (Menteri) telah mengeluarkan arahan segera kepada Pegawai Pendidikan Daerah supaya menyiasat kejadian itu.

"Saya juga bersama-sama Anggota Dewan Undangan Negeri Kerdau Datuk Redhuan Harun telah mengadakan perjumpaan tertutup dengan pengetua serta tiga guru berkenaan hari ini.

"Pengetua SMK Teluk Sentang bersetuju mengganti semula tudung pelajar yang telah digunting itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Ahmad Azmey Abu Talib ketika dihubungi Bernama berkata jabatan sedang mengadakan siasatan lanjut mengenai perkara itu.

"Kita akan siasat dan putuskan tindakan yang sesuai untuk menangani kejadian ini," katanya.