Langkah kerajaan maafkan NST dianggap tidak adil
Himpunan Ulama Seluruh Asia menyifatkan tindakan kerajaan tidak mengambil sebarang hukuman ke atas akhbar The New Straits Times (NST) menunjukkan ketidakadilan yang ketara.
Himpunan Ulama Seluruh Asia menyifatkan tindakan kerajaan tidak mengambil sebarang hukuman ke atas akhbar The New Straits Times (NST) menunjukkan ketidakadilan yang ketara.
Presidennya, Abdul Ghani Shamsuddin berkata, ia menunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal memberi keadilan dalam kes tertentu.
"Banyak kes yang tidak mendapat keadilan sewajarnya dan kes pembebasan akhbar NST adalah salah satu daripadanya," katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas pengumuman Abdullah bahawa NST tidak dikenakan hukuman selepas akhbar itu memohon maaf secara terbuka berhubung penyiaran kartun yang dikaitkan dengan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad.
Abdul Ghani berkata, kes itu juga sebagai satu kesinambungan kepada senarai kes-kes yang tidak diadili dengan betul.
Katanya, jika perkara ini berterusan, lambat laun rakyat akan hilang kepercayaan kepada pemerintah kerana mereka tidak percaya lagi kepada sistem keadilan ayang diamalkan.
'Maaf' dipermainkan
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Awang kesal kerana kerajaan begitu mudah melepaskan NST.
"Ia boleh selesai begitu sahaja. Selepas ini siapa-siapa saja boleh membuat perkara yang sama. Lepas itu minta maaf dan selesai," kata beliau dalam laporan Harakahdaily.
Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan agar tindakan perlu diambil kepada petugas akhbar berkenaan yang membuat salah.
"Tulisan permohonan maaf oleh NST juga nampak sangat tidak ikhlas dan masih mempertahankan kartun itu....Aku tak salah, oleh kerana kamu rasa aku salah, aku minta maaflah. Itu bentuk minta maaf NST.... Mana boleh macam tu," kata Ahmad.
Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hassan Ali pula dalam kenyataannya mengingatkan kerajaan supaya jangan terlalu senang menerima perkataan 'maaf' dari mana-mana akhbar yang mengganggu sentiviti umat Islam selepas menyiarkan kartun yang berbentuk sinis terhadap Islam.
Beliau berkata, perkataan 'maaf' seolah-olah dipermainkan sekarang.
"Bila buat salah minta maaf, lepas itu akhbar lain pula meniru langkah serupa. Apa ini...mana dia Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang kononnya akan mengenakan tindakan seadilnya, " tegas beliau.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.