Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Reformasi p'raya perlu ambil kira undi calon tewas - Penganalisis

Usaha mereformasikan pilihan raya di Malaysia perlu mengambil kira undi calon yang tewas supaya tiada suara rakyat yang menjadi sia-sia, kata pensyarah sains politik Universiti Sunway, Dr WOng Chin Huat yang mencadangkan sistem nisbah perwakilan.

Katanya, calon berpotensi tidak akan berpeluang dipilih kerana undi yang diberikan kepada pihak yang kalah tidak akan membawa sebarang makna.

“Saya berpendapat bahawa ‘wasted voted’ atau undi sia-sia ini yang bermakna undi dikira dalam pemilihan namun tidak membawa sebarang makna pada akhirnya perlu ada satu pembaharuan.

“Kajian mendapati bahawa dalam 165 kerusi parlimen di semanjung Malaysia, lebih 50 peratus undi secara keseluruhan hanya menjadi sia-sia,” katanya pada forum berjudul "PRU14 dan sejak itu: Analisis dan perspektif" di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur, semalam.

Wong mendakwa undi 'sia-sia' kepada calon yang tewas menjadi antara punca kebimbangan pengundi Melayu.

Rasa gelisah, takut

“Sebagai contoh, katakan di satu kerusi calon yang menang menerima 50.1 peratus undi. Manakala, calon yang tewas menerima 49.9 peratus.

"Secara teknikalnya yang terima 50 peratus ke atas akan diumum sebagai pemenang. Namun, 49.9 peratus yang undi kepada yang tewas hanya sia-sia sahaja.

“Ini salah satu punca ramai pengundi khususnya Melayu berasa gelisah dan takut untuk mengundi kepada calon yang potensi,“ katanya lagi.

Sebaliknya, Chin Huat membuat cadangan bahawa Malaysia boleh menggunakan sistem pemilihan nisbah perwakilan seperti di Indonesia.

Menurutnya, pihak-pihak yang bertanding akan mendapat kerusi berdasarkan nisbah undi yang diterima para calon dalam pilihan raya.

Pihak yang menang dapat banyak kerusi, tetapi kata Wong pada masa yang sama pihak yang kalah juga diberikan kerusi yang sewajarnya.

“Kita semua orang tak nak kalah. Dan ketakutan menjadi kalah itu menyebabkan kegelisahan terutamanya dalam komuniti Melayu. Kerana dia rasa, jika ada persaingan dan perpecahan maka, kalau pihak dia tak menang dia berasa gelisah.

“Tapi, kalau ada sistem kadar perwakilan (yang mendapat jumlah kerusi berdasarkan nisbah undi diperolehi calon-calon) seperti di Indonesia, maka kebanyakan orang (pengundi) akan mendapat perwakilan. 

"Itu boleh mengurangkan kegelisahan masyarakat,” jelasnya lagi.

Selain Wong, turut menjadi panelis pada majlis forum itu ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Dalam Negeri, Dr Marzuki Mohamad serta pengasas dan Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan hadirin berkaitan berita palsu, Gan menyentuh kepentingan aspek penggunaan teknologi dalam pendidikan, berkata kurikulum di sekolah rendah ketinggalan zaman.

“Sekolah rendah tidak dilengkapi dengan keperluan atau teknologi semasa. Murid sekolah kita sudah mempunyai halaman Facebook.

“Lihat kepada kurikulum sekolah kita. Mereka tidak mengajar bagaimana berurusan dengan isu privasi, berita palsu dan sistem pengoperasian baru dan teknologi baru yang sepatutnya dibawa ke depan,” katanya.

Jelasnya lagi bahawa dengan sistem pembelajaran sekolah perlu dinaik taraf supaya dapat mendidik insan yang celik maklumat dalam menganalisa isu-isu semasa, termasuklah berita palsu.

Lihat Komen
ADS