Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Satu, dua peristiwa tak jejas hubungan PH dengan istana

Perselisihan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat oleh sesetengah pihak sebagai merenggangkan hubungan antara kerajaan PH dan raja-raja Melayu.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin melihat hubungan Putrajaya dan istana masih dalam keadaan baik.

"Saya tak fikir hubungan tu tak baik, sentiasa baik. Masih berjalan lagi.

"Saya tak melihat dengan hanya satu, dua peristiwa memberi gambaran bahawa kita tak ada hubungan baik dengan raja-raja.

"Kita iktiraf kedudukan raja berperlembagaan," katanya dalam wawancara bersama media, semalam.

Perdana menteri dan istana Johor baru-baru ini dilihat berselisih, antara lain berhubung isu Statut Rom dan pelantikan menteri besar serta exco negeri.

Perselisihan itu turut menyaksikan Tunku Ismail dalam satu klip video mencadangkan untuk menukar perdana menteri, yang kemudian dibalas oleh Dr Mahathir bahawa hanya rakyat yang boleh memutuskan perkara itu.

Kata Muhyiddin, adalah perkara biasa apabila istana dan kerajaan tidak bersetuju dalam isu tertentu, namun, tambahnya, yang penting hubungan tetap kekal mesra.

Muhyiddin mengakui ketika ditanya bahawa campur tangan istana akan menghalang kerajaan dan menekankan bahawa masalah tidak akan timbul jika semua pihak kekal dengan peranan masing-masing seperti digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Raja adalah raja yang berlembagaan. Ada peranan dia dalam perlembagaan. Kerajaan (pula) dipilih rakyat dalam (negara) demokrasi.

"Sebab itu tanggungjawab yang dipegang masing-masing dah dijelaskan dalam perlembagaan.

"Semolek mungkin kalau kita patuh perlembagaan. Baik kita rakyat biasa, atau kita kerajaan, atau raja, maka tak akan timbul masalah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS