Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Insentif tambah pendapatan graduan mampu dilaksanakan

Cadangan untuk memberikan insentif bagi menambah pendapatan graduan yang baru selesai pengajian dalam perkiraan Kementerian Kewangan dan mampu dilaksanakan, kata menteri Lim Guan Eng hari ini.

Bercakap kepada pemberita ketika sesi jelajah mesra di pasar Elopura di Sandakan pagi ini, Lim berkata dia lebih suka menggunakan istilah "insentif tambah pendapatan" berbanding istilah "subsidi gaji" yang digunakan dalam laporan media, semalam.

Jelas Lim, pihaknya sudah menyerahkan dokumen dan cadangan itu kepada kabinet pada Rabu lalu.

"Memandangkan (cadangan) ini adalah kertas daripada Kementerian Kewangan, saya rasa ia memang dalam perkiraan dan juga dalam kemampuan pihak kementerian dan kerajaan Malaysia.

"Tapi ia bukan satu kali jalan. Ia untuk satu tempoh masa. Anda (media) sebut itu subsidi. Saya tak berapa suka (istilah) subsidi pendapatan, saya lebih suka (istilah) program insentif tambah pendapatan.

"Program ini bukan saja dapat wujudkan banyak peluang pekerjaan tapi pada masa yang sama membolehkan mereka (graduan) melengkapi diri dengan kepakaran dan kebolehan dalam pasaran pekerjaan," katanya.

Lim bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu sementara menunggu kelulusan perdana menteri.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad maklum bahawa cadangan berhubung perkara itu sudah dikemukakan kepada kabinet.

Jelas Dr Mahathir, cadangan untuk memberi insentif bagi menambah pendapatan graduan yang bari selesai pengajian adalah bagi menangani isu pekerja asing menguasai kerja-kerja tertentu kerana penduduk tempatan enggan mengambil kerja itu kerana gaji rendah.

Sekiranya dilaksanakan, insentif itu akan diperikan kepada graduan yang baru selesai pengajian yang sudah mula bekerja.

Menurut Sin Chew Daily semalam, RM6 bilion peruntukan bagi program itu akan membolehkan graduan berumur 20 hingga 30 tahun mendapat RM7,000 hingga RM1,000 seorang.

Lihat Komen
ADS