Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemulihan ekonomi mengikut sasaran ditetapkan, kata Guan Eng
Diterbitkan:  May 3, 2019 12:16 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu bahawa pelan pembangunan dan pemulihan ekonomi adalah mengikut perancangan dan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan dan mampan menunjukkan bahawa keyakinan perniagaan sekarang berada pada tahap tertinggi sejak tahun 2013.

Mengulas peningkatan indeks pengurus pembelian (PMI) bagi sektor perkilangan kepada 49.4 mata untuk bulan April 2019, Lim berkata bacaan untuk April adalah tahap yang tertinggi sepanjang tujuh bulan lepas.

Angka 47.2 mata dicatat untuk bulan sebelumnya.

"Malah, berdasarkan kepada nota terbitan Nikkei, bacaan PMI April 2019 meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang 5.2 peratus bagi tahun ini, iaitu lebih tinggi berbanding unjuran Kerajaan sebanyak 4.9 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sungguhpun begitu, kata Lim, kerajaan mengambil langkah berhati-hati dengan mengekalkan unjurannya pada kadar 4.9 peratus bagi tahun 2019.

Menurutnya, peningkatan PMI dalam bulan April 2019 disokong oleh peningkatan tempahan eksport, penambahan pengambilan pekerja baharu, pelaburan untuk mesin dan kilang baharu, serta kenaikan keyakinan perniagaan yang dirangsang oleh kejelasan dan kepastian dasar pembaharuan kerajaan.

"Malah, mengikut bacaan PMI terbitan Nikkei tersebut, keyakinan perniagaan sekarang berada pada tahap tertinggi sejak bulan Oktober 2013," ujarnya.

Dalam satu perkembangan lain, Lim turut mengesahkan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) turut meningkat iaitu sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 Bilion pada tahun 2018, berbanding RM54.5 Bilion pada tahun 2017.

"Penambahan pelaburan baharu adalah kesan langsung kejayaan kerajaan," katanya sambil menambah bahawa kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan memberi penekanan kepada perkembangan ekonomi berkualiti tinggi.

Lihat Komen
ADS