Pendakwa India dakwa Zakir Naik cuci duit
Pihak pendakwaan kerajaan India mendakwa penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dengan tuduhan pengubahan wang haram.
Zakir, warganegara India yang kini menetap di Malaysia, dituduh memperolehi aset berkaitan jenayah bernilai AS$28 juta, lapor media British BBC.
Tuduhan itu dinafikan Zakir.
Pihak berkuasa India turut menuduh beliau menyebarkan ucapan kebencian dan menghasut keganasan.
Ucapan Zakir, 53, banyak disiarkan televisyen Dubai Peace TV, yang mempunyai hampir 200 juta penonton seluruh dunia.
Direktorat Penguatkuasaan India (ED), yang bertanggungjawab menyiasat jenayah kewangan, memfailkan dakwaan terhadap Dr Zakir di mahkamah di Mumbai pada Khamis.
Mahkamah turut diberitahu bahawa, ia telah mengenal pasti aset berjuta dolar sebagai hasil daripada jenayah.
"Ucapan dan ceramah oleh Dr Zakir telah memberi inspirasi dan menghasut sejumlah belia Islam di India untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang dan aktiviti pengganas," kata ED kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Dr Zakir yang berada di Malaysia sejak tahun 2017 berkata memperoleh dana tersebut melalui sumber yang sah di sisi undang-undang.
Di Malaysia, Zakir yang pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2013 oleh Yang di-Pertuan Agong turut mengundang kontroversi khususnya masyarakat beragama Hindu.
Mereka tidak selesa dengan cara ceramah Zakir yang sering membuat perbandingan antara agama.

