Terjemahan Editor yang dipecat berhubung penyiaran karikatur mempersendakan Nabi Muhammad dalam Sarawak Tribune menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap New Straits Times (NST) sebagai "satu keputusan yang bijak supaya kontroversi itu tidak berterusan".

Editor tersebut yang mengaku bertangungjawab terhadap penyiaran karikatur tersebut dalam keluaran 4 Februari Sarawak Tribune ialah Lester Melanyi, 40.

Sarawak Tribune telah digantung bagi tempoh yang tidak ditetapkan selepas menyiarkan karikatur tersebut yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Pengarang Kumpulan Sarawak Tribune , Toman Mamora turut meletakkan jawatan.

Selepas wawancara tersebut, Lester menghantar SMS kepada wartawan ini: "Tolong bagi tahu Pak Lah yang saya perlukan pekerjaan untuk memberi makan keluarga saya."

'Tidak adil'

Sementara itu, seorang lagi bekas kakitangan editorial Sarawak Tribune berkata, keputusan Perdana Menteri itu "tidak adil dan double standard."

"Mengapa Sarawak Tribune dihukum dan dua editor kanannya dipaksa meletakkan jawatan bagi kesilapan yang NST juga lakukan apabila menyiarkan kartun, walaupun berbeza tetapi membawa maksud yang sama?'

Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi memberitahu malaysiakini bahawa Perdana Menteri mungkin telah menimbang pelbagai faktor, termasuk politik, sebelum membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan terhadap NST. Berita asal