Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesanan sulung ketua hakim baru tegaskan kebebasan kehakiman

Tengku Maimun Tuan Mat, dalam ucapan pertamanya susulan pelantikan sebagai ketua hakim yang baru mengingatkan agar pesuruhjaya kehakiman bebas dan berkesan dalam melaksanakan tugas.

Tengku Maimun berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah 11 pesuruhjaya kehakiman baru di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini.

Diminta mengulas tentang pelantikannya, Tengku Maimun berkata dia akan mengulas lanjut selepas majlis angkat sumpah.

"Hari ini hari mereka (pesuruhjaya sumpah). Saya mahu ucapkan tahniah kepada mereka.

"Mereka (pesuruhjaya sumpah) perlu diingatkan sumpah mereka bahawa mereka perlu menangani kes dengan bebas, tidak berpihak dan berkesan.

"Apa-apapun, Alhamdulillah," katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Tengku Maimun akan menjadi ketua hakim yang baru selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikannya.

Tengku Maimun dijangka mengangkat sumpa Isnin depan.

Tengku Maimun, yang merupakan wanita pertama menjadi ketua hakim, menggantikan Richard Malanjum, yang bersara pada 12 April.

Pelantikan ketua hakim sebelum ini sempat mencetuskan kontroversi apabila dikatakan kerajaan dan Majlis Raja-Raja tidak sepakat.

Straits Times memetik sumber yang mendakwa Majlis Raja-Raja menangguhkan memberi lampu hijau berhubung calon ketua hakim yang baru untuk menyampaikan pesan kepada Dr Mahathir bahawa mereka bukan sekadar pemberi kelulusan.

Ia susulan perselisihan pendapat melibatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Majlis Raja-Raja, terutamanya istana Johor dalam beberapa isu.

Lihat Komen
ADS