Kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM) jika terbukti saluran TV2 telah menayangkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad SAW, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow.

"Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kerana ia tidak sewajarnya ditayangkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan menyusur Sungai Kuantan di Kuantan hari ini.

RTM dilaporkan menayangkan karikatur itu menerusi siaran Berita Mandarin di saluran TV2 pada 3 Februari lalu.

Fu dipetik oleh Bernama sebagai berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui situasi sebenar sebelum sebarang tindakan diambil.

Katanya, bentuk tindakan terhadap RTM akan bergantung kepada laporan penuh kejadian yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Katanya, sebarang tindakan terhadap RTM berhubung penayangan karikatur tersebut bergantung terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.