Selesema burung: Lima lagi disyaki dimasukkan ke HKL
Lima lagi penduduk termasuk tiga kanak-kanak dari kawasan sekitar Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur yang diserang selesema burung atau virus avian influenza H5N1, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi kerana disyaki dijangkiti selesema tersebut.
Lima lagi penduduk termasuk tiga kanak-kanak dari kawasan sekitar Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur yang diserang selesema burung atau virus avian influenza H5N1, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi kerana disyaki dijangkiti selesema tersebut.
Kesemua mereka tiga kanak-kanak perempuan berusia 4, 13 dan 14 tahun serta seorang lelaki berusia 44 tahun dan wanita berusia 40 tahun dimasukkan ke wad khas HKL setelah menunjukkan tanda-tanda jangkitan virus iaitu demam, batuk dan selesema.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mohd Ismail Merican berkata kesemua mereka akan ditahan di wad berkenaan sementara menunggu keputusan ujian daripada Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR).
"Setakat pagi ini, cuma lima kes yang masuk malam tadi yang masih dalam wad. Kesemua mereka dalam keadaan stabil, cuma tunggu keputusan ujian IMR sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan sebuah persidangan dan pameran pergigian hari ini.
Tunggu hasil ujian
Dr Mohd Ismail dipetik Bernama sebagai berkata, keputusan ujian itu dijangka diketahui hari ini dan besar kemungkinan kesemua mereka akan dibenarkan pulang jika ia menunjukkan keputusan negatif.
Hasil ujian terhadap 10 kes yang dimasukkan ke HKL sebelum ini adalah negatif daripada virus avian influenza H5N1 dan kesemuanya telah dibenarkan pulang, katanya.
Dr Mohd Ismail berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah di kawasan yang diserang H5N1 itu dan sesiapa yang didapati mempunyai tanda jangkitan virus itu akan dimasukkan ke hospital untuk ujian lanjut.
Katanya sehingga hari ini penyakit itu hanya dikesan di kalangan unggas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.