Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zamri Vinoth nafi hina agama Hindu
Diterbitkan:  May 4, 2019 10:49 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth menafikan tuduhan yang mengatakan dia menghina agama Hindu ketika menyampaikan kuliah agamanya.

Bagaimanapun Zamri berkata, dia akur dengan penahannya oleh pihak berkuasa dan menyifatkan tiada sesiapa di negara ini yang kebal daripada undang-udang termasuk menteri.

"Namun, jauh disuatu sudut yang suram dan kecil di hati saya ada perasaan kecewa kerana saya amat pasti bahawa saya tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina.

"Saya telah ditahan serta direman selama 4 hari, saya akur kepada sistem perundangan tersebut walaupun saya tidak menghina," katanya dalam satu tulisan yang dimuat naik melalui hantaran di laman sosial Facebooknya.

Muhammad Zamri turut meluahkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa masih gagal bertindak terhadap menteri PH yang menurutnya secara terang-terangan menghina Islam dan orang Melayu.

Menteri PH yang disebutkan Zamri ialah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.

"Apabila mengimbas senario tersebut jiwaku secara spontan meminta tuntutan keadilan buat diriku yang daif ini sehingga tercetusnya kekecewaan tersebut.

"Tiada siapa yang kebal undang-undang termasuk menteri kita cuma mungkin mereka belum bersedia untuk melaksanakan kata-kata mereka sendiri. Sungguhnya perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata," tulisnya lagi.

Zamri ditahan polis awal pagi pada 28 Apr ekoran beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Dia ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di Arau kira-kira pukul 2.30 pagi.

Lebih 300 polis seluruh negara dibuat terhadap pendakwah itu ekoran rakaman video ceramahnya yang tular dikatakan menghina agama hindu.

Sementara itu Muhammad Zamri menjelaskan yang dia tidak mempunyai perasaan dendam terhadap pihak membuat laporan polis terhadapnya kerana menurutnya, mereka menggunakan saluran yang betul.

Zamri turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang menurutnya menjalankan tugas secara profesional.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS