Terjemahan Adakah beliau akan melepaskan jawatan atau masih lagi berhasrat untuk terus menerajui kepimpinan kerajaan negeri Sarawak?

Daripada ucapan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu majlis di Asajaya, 60 km dari Kuching pagi tadi, nampaknya Ketua Menteri Sarawak itu masih mahu terus menerajui kerajaan negeri.

Berucap di majlis tersebut, yang dianjurkan khas untuk beliau bercakap mengenai masa depan politiknya. Abdul Taib menolak khabar angin mengenai keadaan kesihatannya dan dengan jelas membayangkan bahawa beliau belum hendak bersara dan menyerahkan kepimpinan negeri kepada kepimpinan baru.

Beliau menyatakan demikian di hadapan lebih 5,000 hadirin yang sebahagian besarnya dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinannya serta parti komponen BN negeri yang lain.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar; Menteri Kemudahan Awam, Datuk Awang Tengah Ali Hassan; Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Datuk Wiliam Mawan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Asajaya, Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah dan Ahli Parlimen Sadong Jaya Datuk Seri Adenan Satem.

Kain rentang yang meminta Taib supaya terus memimpin negeri itu dipasang dalam dewan stadium tertutup tempat majlis itu diadakan, dan di simpang jalan menghala ke Asajaya.

Ketua Menteri berkata, beliau tidak mengambil kisah tentang khabar angin mengenai keadaan kesihatannya dan kononnya beliau kini terpaksa menggunakan kerusi roda. Beliau menasihatkan rakyat supaya jangan mendengar khabar angin seumpama itu, sambil menegaskan bahawa hari ini mereka dapat melihat sendiri keadaan sebenar dirinya.

Abdul Taib telah menjalani pembedahan untuk membuang membuang ketulan di usus pada 11 Januari lalu. Katanya, para doktornya kagum kerana beliau pulih lebih cepat daripada jangkakan mereka.

Tindakan Datuk Seri Adenan Satem, 63, melepaskan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, dalam rombakan kabinet pusat baru-baru ini, telah mencetus khabar angin yang Abdul Taib akan mengundurkan diri.

Seteru politiknya serta mereka yang mengharapkan mendapat tempat apabila beliau berundur, pastikan kecewa besar apabila Abdul Taib dengan jelas menyatakan hari ini bahawa beliau akan menunggu sehinggalah beliau "pastikan ada pasukan pemimpin yang mantap untuk mengambilalih kuasa".

Dalam ucapan selama 45 minit itu, di mana Taib bercakap mengenai perancangannya bagi melaksanakan fasa kedua 'Pembangunan Politik" untuk Sarawak, Ketua Menteri itu idak menyebut langsung mana-mana pemimpin tertentu yang akan menggantikan tempatnya bila beliau berundur nanti.

Tetapi rujukannya kepada "pasukan pemimpin yang mantap" itu, menurut para pemerhati, merupakan satu petanda jelas yang beliau mahu para pemimpin dalam parti pimpinannya bekerja sebagai satu pasukan dan tidak berebut jawatan.

Tanggungjawab kepada rakyat

Abdu Taib memandang berat peningkatan pergeseran antara kumpulan-kumpulan tertentu dalam parti pimpinannya berikutan desas-desus yang mengatakan beliau akan bersara tidak lama lagi.

"Saya tidak akan ketepikan tanggungjawab sebelum saya pastikan ada pasukan pemimpin yang mantap untuk mengekalkan yang terbaik bagi rakyat," kata Abdu Taib.

Beliau juga membayangkan masih banyak perkara yang perlu dilakukannya untuk negeri Sarawak.

Sebelum itu, Abdul Taib berkata, pada mulanya beliau sepatutnya menaiki helikopter ke Asajaya, tetapi oleh kerana keadaan cuaca buruk, beliau menggunakan jalan darat kerana tidak mahu lewat tiba.

Beberapa pemerhati berkata, kenyataannya itu merupakan tamparan kepada Adenan, yang menurut pengkritiknya, sering lewat menghadiri majlis-majlis rasmi. Abdul Taib juga tidak menyebut nama Adenan dalam ucapannya yang panjang lebar pagi ini.

Abdul Karim Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Asajaya yang juga Timbalan Ketua Pemuda PBB, dalam ucapannya berkata, walaupun terdapat pemimpin yang berkaliber yang boleh mengambil alih pemerintahan negeri, "buat masa ini kami masih mahukan Tan Sri Abdul Taib untuk terus menerajui Sarawak."

Beliau memuji pencapaian Abdul Taib dalam bidang sosial, ekonomi dan pembangunan fizikal yang membawa perubahan besar di Asajaya sepanjang tempoh dua dekad yang lalu. Berita asal


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.