Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan Ramadan sebagai satu medan latihan utuh untuk hormat menghormati di antara kaum dan agama.

Beliau berkata ia termasuklah melatih diri untuk bersabar dan tidak mudah 'melatah' apabila berdepan dengan provokasi khususnya di alam siber yang boleh menyebabkan ketegangan kaum.

Anggota Parlimen Pandan itu berkata ajaran Islam bukan hanya menganjurkan umatnya berbuat baik sesama Islam tetapi juga antara bukan Islam.

"Hal ini jelas seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13, yang mengiktiraf kepelbagaian etnik itu sesuatu yang lumrah dan kepelbagaian itu untuk saling mengenali antara satu sama lain bukan untuk mencetuskan konflik.

"Ramadan bukan sahaja melatih kita untuk menjaga kemurnian ibadah secara individu, sebaliknya sentiasa berlapang dada menghadapi situasi-situasi mengeruhkan atau tegang kerana kerenah masyarakat," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Pandan, di Ampang, hari ini.

Pada majlis itu, beberapa pengerusi masjid dan surau di kawasan parlimen itu menerima sumbangan berbentuk cek untuk kegunaan ahli kariah sepanjang bulan Ramadan.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Abd Hamid Hussain.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu sebagai satu peristiwa penting negara.

"Alhamdulilah, beliau wanita pertama dilantik sebagai Chief of Justice, ini satu lagi milestone untuk Malaysia dan saya ucapkan tahniah kepadanya," kata beliau.

Pada Khamis, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa mulai 2 Mei.

Pelantikan itu berikutan tamat tempoh perkhidmatan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lepas setelah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan.

- Bernama