Statut Rom yang berkaitan dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sepatutnya tidak perlu ditakuti sesiapa kecuali pihak yang melakukan kezaliman, termasuk raja-raja, kata aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi.

Katanya dia bersependapat dengan peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah yang menjelaskan pendiriannya terhadap Statut Rom semalam.

Kata Asheeq Ali, seperti dinyatakan Shafee Statut Rom memang akan memberi kesan kepada raja-raja tetapi ia hanya berlaku jika mereka melakukan kezaliman.

"Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa raja-raja akan terkesan hanya jika mereka berlaku zalim dan kerajaan gagal mendakwa raja tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu Statut Rom menimbulkan ketegangan di antara kerajaan dan sesetengah pihak baru-baru ini apabila mereka tidak bersetuju Putrajaya meratifikasinya.

Alasan pengkritik ialah statut berkenaan mengancam kedaulatan Islam dan raja-raja Melayu.

Untuk rekod sebahagian besar negara di seluruh dunia - termasuk negara Islam - sudah meratifikasi statut berkenaan.

Kata Asheeq Ali rakyat wajar mengakui hakikat bahawa seseorang raja juga manusia biasa yang terdedah kepada nafsu dan godaan syaitan.

Mengulas lanjut, Asheeq berkata isu Statut Rom dimanipulasikan sesetengah pihak sehingga menyebabkan ada individu tertentu diagung-agungkan dan seolah-olah langsung tidak langsung boleh dikenakan tindakan.

Memetik wawancara terbaru bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad, seorang sultan yang mengarahkan tenteranya membunuh dan kerajaan gagal mendakwanya akan dihadapkan ke ICC.

"Ini adalah satu-satunya cara Statut Rom membawa kesan kepada raja-raja, bukan seperti semua 'penipuan' yang dibentangkan empat professor tempoh hari," katanya.

Justeru itu, Asheeq berkata kerajaan perlu mengambil pengajaran daripada kemelut yang berlaku, selain meminta peguam negara memberikan nasihat yang jujur kepada Majlis Raja-raja.

Asheeq Ali juga mahu semua pihak mengambil pendekatan holistik dalam menangani isu berkaitan Statut Rom.

"Perkara ini sebenarnya perlu diakui oleh semua pihak dan pendekatan yang lebih holistik perlu diambil.

"Tommy Thomas selaku peguam negara patut mendedahkan perkara ini kepada Majlis Raja-raja. Raja-raja masih boleh melakukan jenayah kemanusiaan atas kapasiti peribadi mereka.

"Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa tidak perlu pindaan perlembagaan dalam isu ini," katanya.

Asheeq Ali juga berkata Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada negara lain yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan seperti Jordan dan UK tetapi pada masa sama meratifikasi Statut Rom.