Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Wong tak dapat hadir forum Bersih sebab 'jadual ketat'

PRK SANDAKAN | Calon DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong tidak dapat menghadirkan diri pada forum anjuran Bersih yang mahu menampilkan semua calon PRK berkenaan esok.

Vivian memberikan alasan jadual yang padat sebagai sebab beliau tidak dapat hadir pada forum tersebut.

"Jadual saya sangat ketat. Saya baru kembali dari Pulau Berhala dan saya bergegas ke sini untuk mengadakan sidang akhbar dengan anda semua (pihak media)," katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan akar umbi DAP dan pemimpin parti itu hari ini.

Beliau berkata selain itu terdapat ramai menteri daripada semenanjung akan tiba ke Sandakan esok.

"Selepas perbincangan dengan pengurus kempen saya, kami buat keputusan memandangkan jadual kami telah dirancang, kami tidak mahu merosakkannya. 

"Bukan kerana ia tidak penting," katanya.

'Tiada calon DAP, PBS'

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Bersih Sabah mengumumkan akan menganjurkan sebuah forum esok untuk menyediakan platform kepada semua lima calon PRK menyuarakan idea dan rancangan mereka untuk Sandakan.

Namun, hanya tiga calon bebas - Hamzah Abdullah, Chia Siew Yong dan Sulaiman Abdul Samad mengesahkan akan menyertai forum tersebut.

"Sayangnya, calon dari DAP dan PBS tidak dapat hadir, menurut kedua-duanya, mereka mempunyai jadual yang tidak boleh diubah," kata kenyataan itu.

Bersih Sabah berkata forum itu dirancang kerana PRK pada 11 Mei ini  merupakan pilihan raya pertama di Sabah sejak pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ia juga katanya, beberapa hari selepas ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan.

"Kami ingin memeriahkan kebebasan bersuara dan ruang demokrasi di negara ini dengan menampilkan calon-calon untuk berkongsi visi mereka bagi membantu rakyat Sabah," katanya.

Forum itu dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi di Hotel Labuk, Bandar Labuk Jaya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Stephen Wong pada 28 Mac lalu.

Wong, yang merupakan anak bongsu Stephen bertanding menentang naib presiden PBS, Linda Tsen dan tiga calon bebas.

Malaysiakini telah menghubungi Tsen untuk mendapatkan maklum balas beliau.

Lihat Komen
ADS