Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Ketika Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Bajet 2019 November lalu, ramai yang mengkritik kerajaan kerana mengurangkan peruntukan bantuan untuk golongan seperti nelayan dan belia.

Bagaimanapun, beberapa bantuan terbabit diperkenalkan semula, seperti Bantaun sara Hidup Rakyat (BSH) - BR1M yang dijenamakan semula.

Lim berkata, langkah tersebut bukan kerana kerajaan membuat pusingan U, tetapi ia berdasarkan kemampuan kerajaan pada masa ini.

"Dalam ucapan Belanjawan 2019 saya sebelum ini, saya ada sebut jika kita ada kemampuan dan sumber...Maka kita akan agihkan bantuan," katanya dalam wawancara bersama media di Putrajaya baru-baru ini.

Ditanya tentang jumlah yang perlu dibelanjakan selepas pembentangan Bajet 2019, Lim berkata kerajaan berjaya menjimatkan sejumlah RM3.5 bilion hanya dengan tidak melakukan rasuah.

"Bila ada yang sebut dari mana datang wang itu, saya cakap kerajaan bersih dan tidak korup. Jadi kita dapat lakukan penjimatan.

"Apabila kita buat anggaran belanjawan, bagaimana kita dapat kira penjimatan hasil (kerajaan) yang bersih? Kita tak boleh (kira).

"Tetapi lepas kita ada sedikit lebihan (wang), kita kongsikannya bersama rakyat," katanya.

Langkah kurangkan kos

Selain itu, Lim berkata kerajaan juga berjaya menyelamatkan lebih RM24 bilion daripada pengurangan kos beberapa projek, seperti LRT3 dan MRT2.

Katanya, ia sekali gus dapat membantu kerajaan menyelamatkan Tabung Haji dan Felda.

Beliau berkata penjimatan itu pada asalnya untuk membayar hutang 1MDB namun langkah penyelamatan itu menyebabkan kerajaan terpaksa mencari jalan lain.

"Tetapi nampaknya kita masih perlu cari sumber lain untuk bayar hutang 1MDB. Namun saya yakin dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kita boleh melakukannya," katanya lagi.

Selain itu, Lim juga turut memberi jaminan bahawa 1MDB akan membayar hutangnya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWAP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

"Anda tidak perlu risau (hutang kepada KWSP dan KWAP). Anda perlu bimbangkan Kementerian Kewangan, kerana kami membayar wang itu," katanya.

Menurut Lim, pelaksanaan semula projek berkaitan 1MDB - seperti Bandar Malaysia dan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) - tidak hubung kait dengan pelan pembayaran hutang kerajaan.

Katanya, pembayaran hutang perlu dilakukan sekarang manakala keuntungan projek tersebut bersifat jangka panjang.

Mengenai satu lagi projek berkaitan 1MDB, iaitu Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER), Lim berkata rundingan untuk pengembalian dana sedang diadakan dengan kerajaan China.

Dua projek SSER dibatalkan selepas didapati RM8.3 bilion - 88 peratus daripada kos pembinaan - telah dibayar, walaupun hanya 13 peratus daripada kerja-kerja disiapkan.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa hanya kira-kira RM1.2 bilion telah dibayar oleh Malaysia, mengikut persetujuan bahawa 85 peratus projek itu akan dibiayai oleh Exim Bank China.

"Daripada jumlah bayaran telah dibuat, kami akan lihat berapa banyak yang dapat dikembalikan, dan jika kami tidak dapat mencapai persetujuan dalam rundingan, perkara ini harus dibawa ke timbang tara," katanya.

Katanya lagi, jika perkara itu berlaku, kontrak yang ditandatangani perdana menteri Najib Razak menyatakan timbang tara akan diadakan di Sweden.

"Mengapa Sweden? saya tidak tahu, Mungkin Najib tahu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS