Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ke-13: Pegawai bank tak tahu RM42 juta dari dana SRC

LANGSUNG l Perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-13 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ikuti perbicaraan ini yang dilaporkan Malaysiakini secara langsung:


3.38pm: Shafee meminta hakim memulakan perbicaraan SRC International esok lewat daripada kebiasaan iaitu selepas jam 9 pagi kerana pihak pembelaan harus berada di Mahkamah Rayuan.

Beliau memberitahu hakim Nazlan bahawa Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan berhubung rayuan pihak peguam untuk menyingkirkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada menjadi sebahagian daripada pasukan pendakwa dalam kes 1MDB.

"Najib juga perlu berada di sana," katanya.

Hakim kemudian bertanya Shafee berapa lama masa diperlukan dan peguam itu berkata keputusan itu dijangka dibuat apabila mahkamah bermula pada jam 9 pagi, dan mereka akan segera ke Kompleks Mahkamah KL untuk perbicaraan SRC International selepas itu.

Hakim kemudian menetapkan perbicaraan esok bermula jam 10 pagi.

Perbicaraan bersambung esok hari.

3.21pm - Mahkamah dalam perbicaraan kes SRC International untuk pertama kali mendengar nama Mail Global Resources.

Ini berlaku apabila peguam bela Farhan menyoal saksi Norhayati mengenai RM35 juta yang dikeluarkan melalui tujuh transaksi kepada Mail Global Resources.

Saksi ke 30 mengesahkan dia ingat transaksi berkenaan yang mana jumlah RM5 juta dikeluarkan bagi setiap satu cek daripada tujuh cek itu .

Farhan kemudian mencabar bagaimana saksi boleh mengingat hal ini.

Selanjutnya, Farhan bertanyakan saksi mengenai sekeping cek berjumlah RM53 juta dikeluarkan daripada akaun Ihsan Perdana kepada Mail Global Resources, yang mana Norhayati menjawab SPRM tidak bertanyakannya mengenai perkara tersebut apabila suruhanjaya antirasuah itu mengambil keterangannya dahulu.

3.20pm: Saksi ke-30, Norhayati berkata beliau tidak tahu sama ada wang yang terlibat dalam pemindahan dari Gandingan Mentari ke akaun Ihsan Perdana adalah dari SRC International atau tidak.

Saksi itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Najib, Farhan Read.

"Puan, adakah kamu tahu sama ada sumber wang itu berasal dari SRC International?

"Saya tidak tahu," jawab Norhayati.

Mahkamah terdahulu mendengar keterangan dari pegawai bank itu mengenai transaksi dari SRC International yang masuk ke akaun Gandingan Mentari sebelum dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana.

Terdahulu hari ini, Norhayati mengesahkan RM42 juta dipindahkan dari akaun Ihsan Perdana kepada dua akaun Ambank Najib dengan nombor akhir 880 dan 906.

1pm: Norhayati mengesahkan bahawa akaun semasa Affin Bank milik Ihsan Perdana bernombor 106180001108 menerima sejumlah RM50 juta dari akaun semasa Ambank milik Gandingan Mentari Sdn Bhd antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Semasa pemeriksaan utama oleh DPP Sulaiman Kho, beliau berkata berdasarkan dokumen bank, RM40 juta dipindahkan dari Gandingan Mentari ke Ihsan Perdana pada 24 Disember 2014; RM5 juta pada 5 Feb 2015; dan RM5 juta pada 6 Feb 2015.

Ini sama dengan keterangan sebelum ini bahawa wang sebanyak RM50 juta dimasukkan dari akaun Gandingan Mentari ke akaun Ihsan Perdana.

12.05pm: Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman muncul di mahkamah untuk dicamkan oleh Norhayati selaku saksi perbicaraan.

Shamsul muncul dari bilik saksi dan dilihat tenang ketika dikenal pasti oleh Norhayati sebelum memberikan kad pengenalannya kepada hakim.

Selepas dicamkan, Shamsul berjalan kembali ke bilik saksi.

Terdahulu, Norhayati memberi keterangan bahawa Shamsul merupakan salah seorang daripada dua penandatangan rasmi Ihsan Perdana bagi pemindahan wang daripada akaun Affin Bank.

Penandatangan lain yang diberi kuasa untuk akaun Ihsan Perdana dengan Affin Bank ialah Abdul Aziz Ismail.

Pada 2017, pasukan petugas khas 1MDB dilapor menahan Shamsul sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dana syarikat pelaburan berkenaan.

11.30am: Pengurus Affin Bank cawangan The Curve di Petaling Jaya, Norhayati Mohd Yunus, mengesahkan terdapat tiga pemindahan berjumlah RM42 juta daripada akaun bank anak syarikat SRC International, Ihsan Perdana kepada dua akaun Najib Razak antara Dis 2014 dan Feb 2015.

Tiga pemindahan itu melibatkan sejumlah RM27 juta, RM10 juta dan RM5 juta.

Norhayati berkata borang pemindahan berasingan melibatkan pemindahan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta itu ditandatangani dan diberi kuasa bersama kepada Shamsul Anwar dan Abdul Aziz.

Shamsul Anwar dan Abdul Aziz adalah penandatangan yang sah di akaun Ihsan Perdana yang mana RM42 juta dipindahkan ke dua akaun Ambank milik Najib.

Semasa pemeriksaan utama oleh Sulaiman Kho, saksi ke-30 itu berkata akaun Ihsan Perdana dengan nombor akhir 1108 telah memindahkan RM27 juta kepada akaun Ambank milik Najib dengan nombor akhir 880 pada 26 Disember 2014.

Beliau berkata, terdapat pemindahan dari akaun Affin Bank yang sama sebanyak RM5 juta kepada akaun Ambank Najib dengan nombor akhir 906 pada 26 Disember 2014.

Dalam keterangannya Norhayati berkata satu lagi pemindahan melibatkan RM10 juta daripada akaun Affin Bank kepada akaun Ambank milik Najib dengan nombor akhir 880 berlaku pada 10 Feb 2015.

Saksi juga memberi keterangan bahawa Ihsan Perdana yang pada satu ketika pernah dinamakan sebagai Gem Horizon Sdn Bhd mempunyai tiga akaun semasa dengan Affin Bank cawangan The Curve.

Akaun semasa itu bernombor 1011811300 yang dibuka pada 5 Ogos 2011, 106180001001 yang dibuka pada 5 Jan 2012 dan 106180001108 dibuka pada 1 Jun 2012.

10.34am: Amirul memberitahu beliau berada di bawah tekanan dan terburu-buru ketika menyediakan kertas pelaburan KWAP untuk pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.

"Saya diminta oleh pihak pengurusan untuk mempercepatkan permohonan itu.

"Kalau tengok, terdapat beberapa mesyuarat dalam masa terdekat. Kalau 'miss' meeting go for next one. Tapi di sini, tergesa-gesa untuk setiap mesyuarat.

"Terdapat banyak tekanan untuk percepatkan benda ni semua," katanya kepada DPP Ishak.

Hakim Nazlan kemudian membenarkan Amirul dipanggil kembali untuk pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh.

Hakim membenarkan permohonan Shafee yang mengetuai pasukan peguam pembela Najib untuk menangguhkan pemeriksaan balas kerana Harvinderjit mengalami keracunan makanan dan tidak dapat hadir hari ini.

DPP Sithambaram mengatakan pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

10.32am: Pegawai KWAP, Amirul memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya menerima kira-kira 25 peratus dokumen yang diperlukan daripada SRC International semasa menyediakan kertas kerja untuk meluluskan permohonan pinjaman itu.

Amirul berkata beliau harus bergantung pada apa sahaja yang diterima dari SRC International untuk mengendalikan kertas pelaburan bagi dipersembahkan kepada panel pelaburan KWAP.

Ishak: Jika dilihat exchange of email dirujuk dalam keterangan, yang mohon banyak maklumat, adakah maklumat diperolehi?

Amirul: Ada sikitlah, tak semua

Ishak: Berapa percent tu?

Amirul: 25 percent

Ishak: Dan awak terpaksa bertindak berdasarkan 25 percent tu?

Amirul: Ya

10.20am : Amirul berkata KWAP pada akhirnya memberikan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada RM3.95 bilion yang asalnya dikehendaki. Disebabkan pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion, maka RM2 bilion lagi adalah pinjaman berasingan untuk SRC.

Saksi itu memberitahu DPP Ishak bahawa KWAP meluluskan RM2 bilion bagi permohonan pinjaman pertama SRC sebanyak RM3.95 bilion.

Beliau berkata SRC International kemudian membuat permohonan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion yang diberikan dengan jumlah yang sama oleh KWAP.

Amirul berkata secara keseluruhan jumlah pinjaman KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

10.12am: Amirul berkata pinjaman RM4 bilion yang diberikan KWAP kepada SRC International adalah yang terbesar pernah dilihatnya sepanjang berkhidmat dengan KWAP.

"RM4 bilion (pinjaman) adalah yang terbesar yang dipersetujui oleh KWAP yang saya pernah lihat," kata saksi itu kepada DPP Ishak semasa pemeriksaan utama.

10am: Najib Razak menandatangani surat jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua SRC International bernilai RM2 bilion daripada KWAP, kata saksi Amirul Imran Ahmat.

Amirul memberi keterangan bahawa Najib menandatangani surat tersebut selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Dokumen perjanjian pinjaman itu, katanya, ditandatangani antara CEO KWAP pada masa itu, Azian Mohd Noh dan pengarah SRC International Suboh Md Yassin.

9.34am: Amirul berkata pada 22 Mac 2012, beliau menerima e-mel dari Nik Faisal kepada Azian Nor bahawa perdana menteri dan menteri kewangan (Najib) telah membuat keputusan mengenai pembiayaan tambahan RM2 bilion.

Saksi itu mengatakan bahawa dia diarahkan oleh ketuanya ketika itu, Nor Hisyam untuk menyediakan 'surat pekeliling' atas pinjaman berkenaan.

"Ia adalah satu jumlah sekali gus, berdasarkan perbincangan dengan PM," kata Amirul.

Amirul berkata Najib adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB dalam kaitan kertas pelaburan panel yang disediakannya, berhubung pembiayaan tambahan berkenaan.

9.16am: Amirul memberi keterangan bahawa pada 14 Februari 2012, beliau menerima e-mel dari bekas pengarah kewangan 1MDB, Terrence Geh yang meminta kelulusan untuk mendapatkan pembiayaan tambahan sebanyak RM2 bilion yang akan dijamin oleh kerajaan.

Semasa pemeriksaan utama oleh DPP Ishak Mohd Yusoff, saksi ke-29 itu mengatakan pada 14 Mac 2012, beliau menerima resolusi daripada lembaga pengarah SRC International untuk mendapatkan pinjaman tambahan RM2 bilion.

9.07am: Najib memasuki kandang tertuduh apabila hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memasuki mahkamah untuk meneruskan pemeriksaan utama terhadap saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat. Amirul merupakan bekas pembantu naib presiden di Jabatan Pendapatan Tetap, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

 

9.00am: Najib yang dilihat memakai sut biru memasuki bilik mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam, sementara menunggu perbicaraan bermula.

Ketua peguam yang mewakilinya, Muhammad Shafee Abdullah juga dilihat mengambil tempat duduk bersama peguam-peguam lain.

Peguam Negara Tommy Thomas juga dilihat mengambil tempat duduknya dan berbincang dengan anggota pasukan pendakwaan yang lain.

Timbalan Pendakwaraya,  V Sithambaram dan anggota pasukan pendakwaan yang lain juga dilihat mengambil tempat di hadapan.


Najib dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah (CBT) di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan; tiga tuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa); dan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, anggota parlimen Pekan itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda bagi pertuduhan pecah amanah; penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah yang terlibat atau bersamaan RM10,000 yang mana lebih tinggi kerana salahguna kuasa; dan penjara 15 tahun dan denda sehingga RM15 juta atau lima kali jumlah yang terlibat, yang mana lebih tinggi, bagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan bermula pada jam 9 pagi.

 

 

Lihat Komen
ADS