WAWANCARA l Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dipercayai bersembunyi di China setelah menjadi buruan pihak berkuasa, masih tetap dikehendaki, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau ditanya sama ada pihak berkuasa Malaysia akan terus memburu lelaki itu susulan tindakan kerajaan yang berjaya menjual kapal layar mewah miliknya dan dan memperoleh sebahagian daripada dana 1MDB, yang didakwa diselewengkan.

"Masih banyak lagi duit yang hilang, yang kita dapat itu tak banyak, kurang daripada RM2 bilion.

"Dia curi duit dari 1MDB RM42 bilion.

"Siapa dapat duit itu, siapa yang simpan duit dan ada di mana," kata perdana menteri pada sidang media setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

Mahathir berkata terdapat juga soalan-soalan yang belum dijawab seperti di mana wang yang diselewengkan itu, siapa yang menerima dan yang menyimpannya.

“Siapa simpan duit itu? Ada di mana? Ada bukti mendakwa Jho Low menggunakan duit itu untuk diri sendiri.

"Kita ada masalah mengesannya tetapi kita tetap akan buru dia,” katanya

Minggu lalu, media melaporkan pihak berkuasa Amerika Syarikat melakukan persediaan memulangkan RM828 juta yang didakwa disalah guna daripada dana 1MDB.

Jumlah itu termasuk kira-kira AS$140 juta (RM579 juta) daripada penjualan saham Hotel Park Lane di New York dan kira-kira AS$60 juta (RM248 juta) lagi daripada penyelesaian yang dibayar oleh penerbit filem ‘Wolf of the Wall Street’.

Hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan jualan kehakiman kapal layar mewah Equanimity telah selesai dengan penerimaan penuh harga belian berjumlah AS$126 juta daripada Genting Malaysia Bhd (Genting) pada 23 April lalu.

[Baca berita penuh]