Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menegaskan pihaknya berhak melaksanakan audit terhadap dana yang disalurkan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim).

MAIWP berkata, berkata kelulusan zakat yang diberi kepada pihak lain termasuk Iksim adalah bersyarat, iaitu laporan perbelanjaan perlu dikemukakan kepada mereka.

“Sebagai pemegang amanah, MAIWP bertanggungjawab memastikan bantuan dana zakat yang diberi hendaklah dibelanjakan sebagaimana tujuan permohonan,” kata MAIWP.

Ogos tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dr Mujahid Yusof, berkata audit dalaman terhadap Iksim mendapati sejumlah RM7.4 juta perbelanjaan daripada RM7.6 juta yang diterima daripada MAIWP tidak dapat dikesan.

Mujahid berkata hanya 2.2 peratus daripada dana tersebut dapat dikesan melalui butiran transaksi.

Namun Iksim menuduh kenyataan Mujahid sebagai fitnah dan menyifatkan MAIWP bukan juruaudit bertauliah.

Semalam portal The Malaysian Insight melaporkan Iksim, yang difatkarna sebagai sebuah syarikat, enggan diaudit MAIWP atas tidak berada bawah bidang kuasanya.

“Kelulusan yang diberi pula adalah kelulusan bersyarat iaitu tertakluk kepada laporan perbelanjaan yang perlu dikemukakan oleh pihak Iksim dan atas dasar kebertanggungjawaban ini, maka MAIWP berhak melaksanakan audit atas dana yang disalurkan sebagaimana yang telah dibuat kepada beberapa pihak lain.”

MAIWP berkata, pihaknya menyalurkan dana kepada Iksim pada tahun 2015 hingga 2018 dan ia tertakluk kepada kepada Kaedah-kaedah Baitulmal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Perbelanjaan dan Penggunaan) 1980.

Jelasnya, pengauditan terakhir dibuat pada 17 Julai 2018 dan laporan pengauditan telah diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Iksim untuk tindakan lanjut.

“MAIWP difahamkan Iksim kini dalam proses penggulungan dan ALP Iksim juga telah melantik firma audit bertauliah bagi melaksanakan audit forensik terhadap Pemerhatian yang dibangkitkan oleh Audit Dalam MAIWP .

“MAIWP tidak lagi menyalurkan sebarang dana kepada Iksim dan sebarang tindakan lanjut adalah di bawah tanggungjawab ALP Iksim,” menurut MAIWP lagi.

Iksim ditubuhkan di era pentadbiran kerajaan lama bawah pimpinan Najib Razak.