Di sebalik keterujaan orang ramai untuk lebih menggelapkan cermin kereta masing-masing, Lee Lam Thye berkata ia tidak semestinya mengurangkan kepanasan dalam kenderaan.
Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya berkata untuk menyejukkan kereta cermin gelap harus mampu menapis tiga unsur cahaya, iaitu cahaya boleh lihat (43 peratus), radiasi infrared (54 peratus) dan radiasi ultraviolet (3 peratus).
“Untuk menjadikan filem tingkap itu berkesan, ia perlu mampu menapis ketiga-tiga elemen tersebut.
“Sekiranya ia hanya menapis kemasukan cahaya, haba dari sinaran infrared dan ultraviolet tetap akan memanaskan kabin,” katanya.

Justeru, kata Lee, orang ramai juga perlu dididik mengenai perbezaan filem gelap yang ada di pasaran.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam mengumumkan pemilik kenderaan persendirian boleh menggelapkan sepenuhnya cermin belakang dan cermin sisi kiri dan kanan penumpang.
Bagaimanapun kadar peratusan ketelusan cahaya bagi cermin depan dan cermin sisi kiri dan kanan pemandu masih kekal, masing-masing 70 peratus dan 50 peratus.
Sebelum ini, VLT bagi cermin belakang dan cermin sisi penumpang ialah 30 peratus.
Dalam kenyataan hari ini, Lee berkata keputusan kementerian semalam sememangnya dinantikan pelbagai pihak, antaranya disebabkan terik cahaya matahari di negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia.
