Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak menegaskan sekali lagi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah melepaskan Taib Mahmud tanpa sebarang dakwaan salah laku.

Ini selepas bekas ketua menteri Sarawak itu dikaitkan oleh kumpulan aktivis alam sekitar dengan operasi pembersihan tanah yang didakwa dilakukan secara haram berhampiran Taman Negara Mulu.

Setiausaha Akhbar Taib, Jameson Ahip Nawie merujuk sidang akhbar 3 Julai 2018 oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull ketika itu berhubung 15 siasatan berasingan yang dibuka terhadap Taib.

Mohd Shukri berkata tidak ada pertuduhan boleh dikenakan terhadap Taib kerana kekurangan bukti berhubung penglibatannya sebagai individu yang membuat keputusan.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Jameson berkata jawatan Yang di-Pertua Sarawak "adalah lantikan apolitik, yang sepatutnya berada di atas politik atau perdebatan awam".

"Yang di-Pertua Sarawak sekarang, Tuan Yang Terutama Abdul Taib Mahmud mula dilantik pada 1 Mac 2014 untuk tempoh empat tahun. Tempohnya diperbaharui untuk tempoh empat tahun lagi pada Februari 2018.

"Adalah tidak beretika apabila Abdul Taib masih dikaitkan dengan projek-projek yang diragui di Sarawak.

"Abdul Taib telah dibersihkan daripada semua kesalahan jenayah oleh SPRM. Adakah Bruno Manser Fund mengabaikan penemuan SPRM?" soalnya.

Jameson memberi respons terhadap laporan Bruno Manser Fund (BMF) yang berpangkalan di Switzerland Selasa lalu, yang menuduh beberapa pelanggaran oleh sebuah syarikat perladangan kelapa sawit yang dikaitkan dengan ahli keluarga Taib dan rakan-rakan mereka.

Antara lain, laporan BMF bertajuk "The Mulu Land Grab" mendakwa syarikat kelapa sawit berkenaan gagal menghormati hak-hak adat penduduk tempatan- Penan dan Berawan / Termin.

Laporan itu juga mendakwa syarikat itu menebang 30,000 meter padu balak bernilai AS$ 10,000 tanpa lesen sejak akhir tahun lalu berhampiran Taman Negara Mulu yang dilindungi Unesco.

Ia menambah syarikat itu juga gagal mematuhi terma pajakan yang diberikan pada tahun 2008 untuk memulakan penanaman kelapa sawit dalam tempoh dua tahun.

BMF berkata laporan itu berdasarkan kepada misi ke kawasan yang terjejas awal tahun ini.

Tidak jelas sama ada operasi pembersihan tanah yang diketengahkan BMF adalah sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas Taib, bekas ketua menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014.

Menteri Industri Utama Teresa Kok sebelum ini turut menyatakan kebimbangan mengenai isu itu.

Bagaimanapun, Jameson mendakwa bukti bergambar yang dikemukakan BMF adalah "ketinggalan zaman" dan mengatakan badan berkenaan "tidak menghormati kebenaran".

"Ia tak berbaloi untuk ulas. Foto itu mungkin kelihatan baru tapi ia dah ketinggalan zaman," katanya.

Beliau juga mengulangi bahawa pada 4 Mei 2015 ketua menteri Sarawak Adenan Satem ketika itu telah mengatakan tidak akan ada lagi tanah yang dibangunkan untuk ladang kelapa sawit.

[Baca berita asal]