Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kok bimbang ladang sawit dekat Taman Negara Mulu
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Menteri Industri Utama Teresa Kok menyatakan kebimbangannya terhadap laporan pembukaan ladang kelapa sawit berhampiran Taman Negara Mulu di Sarawak.

Kok berkata beliau telah menyuarakan kebimbangannya kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas, dan memantau keadaan itu dengan teliti.

"Oleh kerana tanah adalah urusan kerajaan negeri, saya berharap kerajaan negeri mengambil langkah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah ini demi kepentingan negara, masyarakat Orang Asal dan agenda kemapanan nasional kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, NGO Alam Sekitar Bruno Manser Fund (BMF) mendakwa syarikat tempatan telah memulakan kerja-kerja penebangan hutan untuk ladang kelapa sawit seluas 4,400 hektar berhampiran taman Mulu, yang merupakan tapak Warisan Dunia Unesco.


Baca: NGO gesa henti pembalakan di Taman Negara Mulu


Post Borneo juga melaporkan penduduk Mulu dari Bateu Bungan, Long Terawan dan Kampung Melinau telah menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg untuk menyatakan kebimbangan mereka tentang pemusnahan hutan oleh syarikat-syarikat kelapa sawit.

Kok berkata beliau akan membentangkan kertas kerja mengenai penanaman kelapa sawit yang mampan kepada semua menteri besar dan ketua menteri akhir bulan ini, dengan harapan untuk mengukuhkan dasar di peringkat negeri.

Beliau berkata, kementeriannya komited untuk mempromosikan penanaman kelapa sawit yang mampan, sambil menyeimbangkannya dengan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan hidupan liar.

Katanya, langkah ini juga amat penting untuk membantu industri minyak sawit bagi mengatasi kempen anti-minyak sawit yang kini mengancam pasaran tempatan.

Lihat Komen
ADS