Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya Ahad ini
Gangguan bekalan air ekoran kejadian paip utama yang pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping dijangka dapat dipulihkan sepenuhnya pada Ahad ini selepas kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip utama yang pecah selesai.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata jangkaan awal pihaknya yang menyasarkan pemulihan keseluruhan pada pukul 3 petang ini tidak dapat dilakukan kerana penggunaan dan penyimpanan bekalan oleh pengguna yang telah pulih.
"Berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan pada pagi ini, 69 peratus (kira-kira 44 kawasan) dari jumlah keseluruhan 65 kawasan yang terjejas telahpun kembali pulih.
“Pihak kami sedang berusaha untuk memulihkan baki 31 peratus kawasan selewat-lewatnya pada hari Ahad ini," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan lori-lori tangki ke kawasan yang masih belum pulih dan meneruskan operasi di pusat khidmat setempat di Bandar Sultan Suleiman, Bandar Parkland, Taman Sri Andalas dan Batu Belah.
Tambah Ahmad Raof lagi sebagai langkah jangka masa panjang pihaknya sedang membina jajaran baharu paip berkapasiti 1,400mm dan 900mm dengan melencongkannya daripada kedudukan asal.
"Kerja-kerja pemasangan dan pengalihan yang melibatkan kerjasama dari beberapa agensi antaranya Lembaga Lebuhraya Malaysia telah bermula malam tadi dan dijadualkan akan siap pada Ahad ini," katanya.
Insiden tiga paip utama pecah di tapak projek WCE sejak Sabtu lepas menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang terjejas.
-- Bernama

