Harga petrol dan diesel naik lagi 30 sen yang tertinggi setakat ini
Harga runcit produk petroleum, termasuk diesel, naik lagi. Kali ini dinaikkan sebanyak 30 sen yang tertinggi setakat ini berkuatkuasa mulai hari ini.
Harga runcit produk petroleum, termasuk diesel, naik lagi. Kali ini dinaikkan sebanyak 30 sen yang tertinggi setakat ini berkuatkuasa mulai hari ini.
Berikutan itu, harga petrol naik daripada RM1.62 kepada RM1.92 selitar bagi gred RON 97 naik 18.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan. Harga Petrol RON 92 pula naik kepada 1.88 seliter
Harga diesel juga naik 30 sen atau 23.4 peratus dari RM1.281 kepada RM1.581 selitar.
Manakala harga gas petroleum cecais (LPG) turut dinaikkan 30 sen daripada RM1.45 kepada RM1.75 sekilogram.
"Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit LPG sebanyak 30 sen sekilogram berkuatkuasa esok (Selasa)," kata kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri semalam.
Menurutnya, kenaikan tersebut adalah bertujuan untuk menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung.
Bagaimanapun, kenyataan itu menegaskan, kerajaan memberi jaminan harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.
Bagi Sabah pula, Petrol RON 97 berharga RM1.90 seliter, Petrol RON 92 (RM1.88 seliter), Diesel (158.4 sen seliter) dan LPG (183 sen sekilogram).
Harga baru di Sarawak
Di Sarawak pula, Petrol RON 97 berharga RM1.91 seliter, Petrol RON 92 (1.88 seliter), Diesel (RM1.578 seliter) dan LPG (RM1.83 sekilogram). Semua harga baru itu mengalami kenaikan sebanyak 30 sen.
Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ialah pada 31 Julai 2005 di mana harga petrol naik 7 peratus atau 10 sen manakala harga diesel naik 23 peratus atau 20 sen manakala harga LPG naik 5 sen.
Dalam tempoh kurang dari dua tahun, harga diesel telah naik sehingga 102.4 peratus manakala harga petrol pula naik sebanyak 40.1 peratus.
"Harga runcit barangan petroleum ini dinaikkan kerana pada tahun 2005 jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan berjumlah RM7.41 bilion. Manakala pengecualian cukai pula berjumlah RM7.85 bilion.
"Beban tanggungan subsidi dan pengecualian cukai bagi tempoh Januari hingga Februari 2006 adalah sebanyak RM1.19 billion dan RM1.44 bilion masing-masing," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga berkata, tanpa subsidi dan pengecualian cukai oleh kerajaan, harga runcit produk-produk tersebut pada Mac 2006 sepatutnya lebih tinggi.
Menurutnya, tanpa subsidi dan pengecualian cukai harga RON 97 di Semenanjung sepatutnya RM2.46 seliter, RON 92 -- RM2.37 seliter, Diesel -- RM1.98 seliter dan LPG -- RM3.21 sekilogram.
Bagi Sabah, petrol RON 97 tanpa subsidi dan pengecualian akan berharga RM2.45 seliter, RON 92 -- RM2.37 seliter, Diesel -- RM1.97 seliter dan LPG -- RM3.35 sekilogram.
Di Sarawak, harga petrol tanpa subsidi dan pengecualian cukai, RON 97 sepatutnya berharga RM2.45 seliter, RON 92 -- RM2.36 seliter, Diesel -- RM1.97 seliter dan LPG -- RM3.34 sekilogram.
"Walaupun kerajaan menaikkan harga barangan petrol, diesel dan LPG, didapati harga petrol dan diesel di Malaysia masih lagi murah berbanding dengan kebanyakan harga barangan tersebut di negara-negara Asean kecuali Brunei Darussalam," menurut kenyataan itu.
Perbandingan harga
Menurut laporan Bernama, kenyataan itu juga berkata harga barangan petroleum di beberapa negara Asean dan beberapa negara lain lebih tinggi berbanding harga produk petroleum Malaysia.
Di Thailand harga petrol RON 97 berharga RM2.52 seliter, RON 92 -- RM2.45 seliter, Diesel -- RM2.28 seliter dan LPG -- RM1.65 sekilogram. Di Filipina petrol RON 97 berharga RM2.21 seliter, RON 92 -- RM2.20 seliter, Diesel RM1.95 seliter dan LPG -- RM4.90 sekilogram.
Di Singapura pula harga petrol RON 97 berharga RM4.15 seliter, RON92 -- RM3.89 seliter, Diesel -- RM2.39 seliter dan LPG -- RM5.32 sekilogram, manakala di Brunei harga petrol RON 97 berharga RM1.22 seliter, RON 92 -- RM1.19 seliter, Diesel -- RM0.71 seliter dan LPG -- RM1.40 sekilogram.
Di Indonesia, harga petrol RON 97 berharga RM2.30 seliter, RON 92 -- RM2.20 seliter, Diesel -- RM1.68 seliter dan LPG -- RM1.89 sekilogram.
Kenyataan itu juga berkata kerajaan turut memperkenalkan sistem pemberian diesel bersubsidi kepada 84 peratus kenderaan yang menggunakan diesel dalam sektor pengangkutan darat yang terdiri daripada pengusaha pengangkutan awam dan perkhidmatan barangan pengguna melalui penggunaan kad fleet.
"Melalui penggunaan kad fleet ini, mereka boleh membeli diesel bersubsidi di stesen minyak dengan harga 15 sen lebih rendah dari harga yang ditetapkan. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telahpun mengeluarkan surat memaklumkan perkara ini kepada pengusaha-pengusaha yang layak," kata kenyataan itu.
Pejabat Perdana Menteri juga berkata penjimatan kewangan yang dibuat melalui kenaikan harga barangan petroleum kali ini akan digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam demi kepentingan rakyat keseluruhannya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.