Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SANDAKAN | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata sebanyak 13 laporan dibuat sepanjang tempoh kempen kali ini.

Pengerusi SPR Azhar Harun berkata sehingga semalam 12 daripada laporan tersebut dibuat kepada polis manakala bakinya dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya laporan polis yang dibuat adalah berhubung dengan isu-isu kecil seperti berkempen tanpa permit dan menaikkan sepanduk dengan memaparkan logo parti yang tidak bertanding di Sandakan.

"Dan ada satu laporan kepada SPRM mengenai beberapa janji yang dibuat semasa berkempen dan saya fikir ia juga agak kecil," katanya kepada media selepas melawat pusat mengundi di Sek Keb Tanjung Papat hari ini.

PRK Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan persaingan utama membabitkan calon PH, Vivian Wong dan Linda Tsen (Parti Bersatu Sabah).

Menurut Azhar tidak ada laporan dibuat mengenai kejadian tidak diingini atau pelanggaran peraturan yang serius.

 

Beliau juga memuji perjalanan kempen untuk PRK ini yang dianggap sangat berdisiplin sejak ia bermula dua minggu lalu.

"Saya dapati semasa berkempen tiada ucapan kebencian, bahan-bahan provokasi dan saya sangat berpuas hati dengan sikap calon dan parti politik serta penyokong mereka di sini

"Di sini lebih tenang dan lebih berdisiplin, justeru saya sangat berpuas hati," katanya.

Setakat jam 10 pagi tadi, jumlah keluar mengundi yang dicatat SPR ialah sebanyak 20 peratus. Pusat pengundian akan ditutup pada jam 5 petang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS