MP: Kem tentera dibina di kawasan marjinal Umno
Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa pembinaan kem-kem tentera melalui pertukaran tanah dengan pihak swasta dilakukan di kawasan yang memiliki sokongan tipis (marginal) terhadap Umno.
Katanya, perkara itu dilakukan bagi memastikan kemenangan Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“[...] Sebahagian besar 'land swap' ini melibatkan pembinaan kem-kem tentera di kerusi-kerusi marginal Umno bagi membolehkan kemenangan Umno dalam PRU yang lepas.
“Kem-kem ini dikenal pasti tidak mempunyai kepentingan strategik bagi pertahanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dibentangkan di Dewan Negara kelmarin.
Kerajaan rugi RM500 juta
Tambahnya, laporan berhubung pelaksanaan 16 projek pertukaran tanah Kementerian Pertahanan itu turut mendapati kerugian atau ketirisan hasil kerajaan melebihi RM500 juta.
“Saya telah bangkitkan isu ini dalam sidang Parlimen yang lepas ketika membahaskan ucapan titah Diraja.
“Semoga ada tindakan yang pantas akan dilakukan bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab. Hal ini amat serius memandangkan ia melibatkan soal pertahanan negara,” katanya lagi.
Pada 9 Mei, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membentangkan hasil laporan JKSTUPKK di Parlimen.
Mohamad mendedahkan siasatan mendapati empat kem tentera dibina bagi tujuan politik untuk menggerakkan pengundi tentera sebelum PRU14 iaitu kem Paloh, Bera, Segamat dan Hutan Melintang.
Malah, pembinaan kem Paloh diberi keutamaan bagi kepentingan politik di Parlimen Sembrong sehingga syarikat pemaju diarahkan membeli tanah dan memulakan pembinaan walaupun sebelum perjanjian ditandatangani.

