Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat perlu terus kritik, pantau kerajaan - Zunar

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini genap berusia setahun sejak mencipta sejarah memenangi pilihan raya umum ke-14, Mei tahun lalu.

Namun bagi Kartunis politik, Zunar, beliau mahu rakyat di negara ini terus memantau dan mengkritik kerajaan sedia ada bagi mengelakkan salahguna kuasa.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata, tugas rakyat Malaysia tidak terhenti pada 9 Mei 2018 setelah Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kuasa dari BN.

“Kerja kita banyak lagi. Dan benda paling penting untuk kita tahu adalah kenapa kerajaan terdahulu boleh memperbodohkan kita selama 62 tahun? Kerana kesilapan kita, saya salahkan rakyat Malaysia.

“Kerana kita biarkan mereka. Sekarang kita dalam era Malaysia baru. Tiada lagi berlepas tangan seperti itu.

“Kita perlu mengkritik dan memantau mereka (PH). Jangan fikir yang tugas kita sudah berakhir dan berada dalam zon selesa,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran bukunya ‘Fight Through Cartoons’ di kedai buku Borders, di The Curve, Petaling Jaya hari ini.

Fight Through Cartoons adalah antara karya Zunar yang pernah diharamkan kerajaan sebelum ini.

Menurut Zunar, beliau menganggap kerjaya sebagai kartunis sebagai satu  tanggungjawab untuk bersama-sama melakukan perubahan.

“Kerana berdasarkan falsafah hidup saya, sesuatu bakat itu bukanlah satu anugerah tetapi ia adalah tanggungjawab.

“Jadi ini adalah tanggungjawab saya. Tanggungjawab saya sebagai seorang kartunis untuk berkongsi bakat saya kepada rakyat Malaysia demi mencapai satu perubahan dan pembaharuan,” katanya.

Dalam ucapannya, Zunar mengimbau tindakan pihak berkuasa bertindak terhadap syarikat pencetak dan kedai-kedai buku yang menjual karyanya.

Malah, ktanya, pejabat Malaysiakini turut menerima tempias apabila diserbu pihak polis kerana menerbitkan karya-karya beliau.

Zunar buktikan perubahan boleh dilakukan

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan menyifatkan Zunar sebagai individu yang banyak memberi inspirasi kepada ramai pihak.

“Saya fikir zunar telah membuktikannya bahawa, satu orang sebenarnya boleh membantu membawa perubahan.

“Dan perkara paling penting sekali kita perlu faham yang individu seperti Zunar telah berkorban selama ini untuk berkempen dan berjuang demi sebuah demokrasi,” katanya.

Steven menambah, sukar dibayangkan tekanan dihadapi Zunar apabila pejabatnya sebelum ini diserbu dan kartunis itu ditangkap atas tuduhan menghasut.

Malaysiakini telah menerbitkan karya kartun Zunar selama bertahun-tahun dan kami gembira serta mengucapkan tahniah atas karya yang menakjubkan ini,” katanya. 

Lihat Komen
ADS